12. Dengan penemuan berhala mulailah pencabulan, dan sejak itu juga rosaklah kehidupan manusia.
13. Berhala itu tidak wujud pada permulaannya, dan tidak akan wujud untuk selama-lamanya.
14. Berhala muncul di dunia kerana angan-angan manusia, maka itulah sebabnya kesudahannya yang segera telah dirancang.
15. Ada seorang bapa yang ditimpa kesedihan besar kerana kematian anaknya. Maka dibuatnya patung menyerupai anaknya yang meninggal sebelum waktunya. Manusia yang tadinya mayat, dihormatinya sebagai tuhan dan orang bawahannya diperintahkan supaya mengadakan kebaktian dan upacara.
16. Lama kelamaan kebiasaan jahat itu semakin kuat dan dijadikan undang-undang. Dengan perintah para penguasa, patung-patung pahatan disembah.
17. Orang yang tinggal jauh dari raja dan tidak dapat menghormati baginda secara langsung, membayangkan rupa raja yang dihormati oleh mereka, lalu membuat gambaran yang nyata. Dengan demikian mereka dapat dengan rajin merayu baginda, seolah-olah baginda hadir antara mereka.
18. Seniman yang gila hormat menggalakkan dan mengembangkan pemujaan itu bahkan antara orang yang tidak mengenal raja itu.
19. Seniman yang barangkali ingin mengambil hati raja, membuat gambaran yang lebih indah daripada orangnya.
20. Karya seni itu memikat hati rakyat sehingga yang mula-mula dihormati sebagai manusia, sekarang dianggap patut dipuja.
21. Hal itu menjadi perangkap bagi manusia, kerana orang yang tertekan oleh malapetaka atau tertindas di bawah kekuasaan raja, mengambil barang-barang daripada batu dan kayu dan menghormatinya sebagai Allah.
22. Selanjutnya, belum cukup bahawa mereka sesat dalam pendapat mereka tentang Allah. Sementara hidup dalam pergelutan kerana kebodohan mereka, keadaan buruk itu disebut oleh mereka sebagai damai.
23. Mereka mengadakan upacara-upacara perlantikan disertai pembunuhan anak-anak, atau upacara-upacara ghaib yang penuh rahsia, atau perjamuan kegila-gilaan disertai adat istiadat yang ganjil.