Kebijaksanaan Salomo 14:1-16 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Begitu juga orang yang mahu belayar mengharungi lautan yang bergelora. Dia berdoa kepada sepotong kayu yang lebih rapuh daripada kapal yang ditumpanginya.

2. Kapal itu dirancangkan oleh seorang yang mencari keuntungan, lalu dibina oleh seorang tukang dengan kemahirannya.

3. Tetapi pemeliharaan-Mu itulah yang mengemudikannya, ya Bapa, oleh sebab Engkau memberinya jalan yang aman melalui ombak-ombak di laut.

4. Tanpa kepandaian pun orang dapat belayar, oleh sebab Engkau telah membuktikan bahawa Engkau dapat menyelamatkan orang daripada segala mara bahaya.

5. Engkau tidak menghendaki karya-karya kebijaksanaan-Mu tidak berhasil. Itulah sebabnya orang mempercayakan hidupnya kepada sepotong kayu yang amat hina dan dengan rakit mengharungi lautan yang bergelora sampai kembali ke daratan dengan selamat.

6. Begitu juga pada zaman purba ketika bangsa raksasa yang bongkak dimusnahkan. Yang menjadi harapan dunia menyelamatkan diri di atas rakit; Engkau mengemudikannya dengan kekuatan-Mu dan menjamin bakal keturunan manusia untuk masa depan,

7. oleh sebab Engkau memberkati kapal kayu Nuh yang mendatangkan kebenaran.

8. Tetapi Engkau mengutuk patung berhala buatan manusia, kerana benda yang fana itu disebut Allah. Engkau juga mengutuk orang yang membuatnya kerana pekerjaannya itu.

9. Seorang jahat dan hasil kejahatannya sama-sama dibenci Allah,

10. dan Dia akan menghukum orang itu mahupun barang buatannya.

11. Oleh itu berhala-berhala bangsa lain juga kena hukuman Allah, oleh sebab di tengah ciptaan Allah berhala-berhala menjadi benda keji, batu sandungan untuk manusia dan perangkap bagi orang bodoh.

12. Dengan penemuan berhala mulailah pencabulan, dan sejak itu juga rosaklah kehidupan manusia.

13. Berhala itu tidak wujud pada permulaannya, dan tidak akan wujud untuk selama-lamanya.

14. Berhala muncul di dunia kerana angan-angan manusia, maka itulah sebabnya kesudahannya yang segera telah dirancang.

15. Ada seorang bapa yang ditimpa kesedihan besar kerana kematian anaknya. Maka dibuatnya patung menyerupai anaknya yang meninggal sebelum waktunya. Manusia yang tadinya mayat, dihormatinya sebagai tuhan dan orang bawahannya diperintahkan supaya mengadakan kebaktian dan upacara.

16. Lama kelamaan kebiasaan jahat itu semakin kuat dan dijadikan undang-undang. Dengan perintah para penguasa, patung-patung pahatan disembah.

Kebijaksanaan Salomo 14