7. supaya negeri yang Engkau anggap paling berharga mendapat penghuni yang sesuai iaitu anak-anak-Mu.
8. Tetapi kerana mereka manusia, Engkau mengasihani mereka juga. Engkau mengirimkan lebah-lebah besar mendahului tentera-Mu supaya mereka dibinasakan dengan beransur-ansur.
9. Engkau dapat menyuruh orang baik menumpas orang jahat di dalam pertempuran. Engkau dapat juga memusnahkan mereka sekaligus dengan binatang buas atau dengan perintah yang keras.
10. Tetapi mereka Kauhukum perlahan-lahan supaya mereka sempat bertaubat, walaupun Engkau tahu bahawa mereka keturunan orang jahat. Mereka jahat sejak dilahirkan dan jalan fikiran mereka tidak akan berubah selama-lamanya.
11. Sejak mula-mula, bangsa itu sudah terkutuk. Apabila mereka tidak Kauhukum kerana dosa-dosa mereka, hal itu bukan pula kerana ada yang Kautakuti.
12. Engkaulah yang mencipta bangsa-bangsa jahat itu. Jika Engkau membinasakan mereka, tidak ada yang sanggup mendakwa Engkau dan membela mereka. Tidak ada yang sanggup menanyai Engkau atau menentang keputusan-Mu.
13. Engkaulah yang memelihara segala sesuatu. Hanya Engkaulah Allah, dan tidak ada yang lain. Jadi Engkau tidak perlu mempertanggungjawabkan keputusan-Mu kepada sesiapa pun.
14. Tidak ada raja atau penguasa di dunia yang dapat mempersalahkan Engkau kerana menghukum bangsa-bangsa itu.
15. Oleh sebab Engkau adil, maka segala sesuatu Kauperintah dengan adil. Engkau tidak pernah menggunakan kekuasaan-Mu untuk menghukum orang yang tidak seharusnya dihukum,
16. kerana kekuatan-Mu ialah sumber keadilan-Mu. Kerana Engkau memerintah segala sesuatu, maka Engkau menunjukkan belas kasihan-Mu kepada semuanya.