2. Mereka menempuh padang gurun yang tidak berpenghuni dan berkhemah di tempat-tempat yang sepi.
3. Mereka bertahan terhadap musuh dan menangkis serangan lawan.
4. Ketika umat-Mu kehausan, mereka berseru kepada-Mu, ya Tuhan, lalu Kaupuaskan mereka dengan air yang keluar dari bukit batu.
5. Air yang menjadi hukuman bagi Mesir menjadi berkat bagi umat-Mu dalam kesengsaraan mereka.
6. Sungai musuh yang melimpah airnya Kaukotori dengan darah,
7. kerana mereka mengeluarkan perintah untuk membunuh anak-anak umat-Mu. Tetapi dengan tidak disangka-sangka, Kauberikan air yang berlimpah-limpah kepada umat-Mu.
8. Sebelumnya, Kaubiarkan mereka kehausan, supaya mereka dapat merasakan bagaimana Engkau telah menghukum musuh-musuh mereka.
9. Ketika mereka diuji, meskipun dengan seksaan yang diberikan dengan belas kasihan, tahulah mereka bagaimana Engkau menyeksa orang jahat yang Engkau adili dengan kemurkaan.
10. Kaucubai umat-Mu seperti bapa memberi peringatan kepada anaknya, tetapi musuh mereka Kauperiksa seperti raja yang memberi hukuman dengan kejam.
11. Baik dekat mahupun jauh, mereka semua kena seksaan.
12. Kesedihan mereka dua kali lipat, dan mereka merintih apabila teringat akan apa yang telah terjadi.
13. Ketika mendengar bahawa hukuman yang menimpa mereka menjadi berkat bagi bangsa Israel, mereka menyedarinya sebagai perbuatan Tuhan.
14. Bangsa Mesir tidak mahu berurusan dengan seseorang yang pada masa kecilnya dibuang oleh mereka; mereka menolaknya dengan caci maki. Tetapi semua kejadian itu akhirnya membuat mereka kagum kepadanya, setelah mereka menderita kehausan yang berbeza daripada kehausan orang baik.