1. Kebijaksanaan melindungi bapa umat manusia yang diciptakan sebagai manusia pertama, waktu dia masih sendiri. Kebijaksanaan menyelamatkannya daripada akibat dosa
2. dan memberi kekuatan kepadanya untuk menguasai segala-galanya.
3. Tetapi ada seorang jahat yang meninggalkan kebijaksanaan. Dalam kemarahannya dia membunuh saudaranya sehingga dia sendiri binasa.
4. Kerana kejahatan itu, bumi dilanda banjir tetapi diselamatkan lagi oleh kebijaksanaan. Seorang yang tulus hati dibimbingnya dalam kapal kayu yang kurang bermutu.
5. Sesudah bangsa-bangsa menjadi kacau-bilau dalam rancangan mereka yang jahat, kebijaksanaan menemukan seorang yang baik lalu menjaganya supaya dia tidak bercela di sisi Allah. Dia menguatkan hati orang itu untuk lebih mentaati Allah daripada menyayangi anaknya.
6. Sementara orang jahat jatuh binasa, kebijaksanaan menyelamatkan orang yang baik, sehingga dia terlepas daripada api yang membinasakan lima buah kota.
7. Bukti-bukti kejahatan penduduknya masih dapat dilihat. Negeri itu menjadi padang gurun yang berasap, dan buah di pohon-pohon tidak pernah menjadi masak. Tiang garam yang masih berdiri tegak mengingatkan kepada seorang yang tidak percaya.
8. Penduduk kota-kota itu mengesampingkan kebijaksanaan, sehingga mereka tidak dapat membezakan yang baik daripada yang jahat. Reruntuhan kota-kotanya juga mengingati kita akan kebodohan mereka, sehingga kita tidak dapat melupakan kesalahan mereka.
9. Tetapi orang yang melayan kebijaksanaan diselamatkan daripada kesusahan.
10. Pernah kebijaksanaan menunjukkan jalan kepada seorang yang baik sewaktu dia melarikan diri daripada kemarahan saudaranya. Kebijaksanaan menampakkan pemerintahan Allah dan memperkenalkan hal-hal yang suci kepadanya. Kebijaksanaan membuatnya sejahtera dan berhasil dalam segala jerih payahnya.
11. Apabila mereka yang serakah ingin merampas miliknya, kebijaksanaan mendampingi orang itu dan membuatnya kaya.