1. Korban untuk mengampunkan dosa perlu dipersembahkan bagi hal-hal yang berikut:Jika seseorang dengan rasminya diminta memberikan kesaksian di mahkamah, tetapi dia tidak memberikan keterangan tentang apa yang sudah dilihat atau didengarnya, maka dia harus menanggung akibatnya.
2. Jika seseorang dengan tidak sengaja menyentuh sesuatu yang najis, misalnya bangkai binatang, dia menjadi najis dan bersalah sebaik sahaja dia sedar akan perbuatannya itu.
3. Jika seseorang dengan tidak sengaja menyentuh apa sahaja yang najis daripada manusia, dia bersalah sebaik sahaja dia sedar akan perbuatannya itu.
4. Jika seseorang bersumpah dengan sembarangan untuk melakukan apa sahaja, dia bersalah sebaik sahaja dia sedar akan perbuatannya itu.
5. Apabila seseorang bersalah, dia harus mengakui dosanya.
6. Sebagai hukuman dosanya itu, orang itu mesti mempersembahkan seekor domba betina atau seekor kambing betina kepada TUHAN. Imam harus mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu.
7. Jika orang yang bersalah itu tidak mampu memberikan seekor domba atau seekor kambing untuk menebus dosanya, dia harus mempersembahkan dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati kepada TUHAN: seekor bagi korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor lagi bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
8. Dia harus memberikan burung-burung itu kepada imam. Mula-mula imam itu harus mempersembahkan burung yang ditentukan bagi korban untuk mengampunkan dosa. Imam itu harus mematahkan leher burung itu, tetapi jangan sampai kepala burung itu terputus.