22. Jika seorang pemimpin berdosa dan bersalah kerana melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja,
23. sebaik sahaja dia menyedari dosanya, dia harus mempersembahkan seekor kambing jantan yang tidak ada kecacatan.
24. Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Inilah korban untuk mengampunkan dosa.
25. Imam yang bertugas harus mencelupkan jarinya ke dalam darah kambing itu, menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah.
26. Kemudian dia harus membakar semua lemak kambing itu di atas mazbah, sebagaimana dia membakar lemak binatang yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Demikianlah cara imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa seorang pemimpin, lalu pemimpin itu akan diampuni oleh TUHAN.
27. Jika seorang rakyat jelata berdosa dan bersalah kerana melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja,
28. sebaik sahaja dia menyedari dosanya, dia harus mempersembahkan seekor kambing betina yang tidak ada kecacatan.
29. Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
30. Imam harus mencelupkan jarinya ke dalam darah kambing itu, menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah.
31. Kemudian dia harus memisahkan semua lemak kambing itu, sebagaimana dia memisahkan lemak binatang yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Selepas itu, dia harus membakar lemak itu di atas mazbah. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. Demikianlah cara imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN.
32. Jika seseorang mempersembahkan seekor domba untuk mengampunkan dosanya, domba itu harus betina dan tidak ada kecacatan.
33. Orang itu harus meletakkan tangannya di atas kepala domba itu, lalu menyembelihnya di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
34. Imam harus mencelupkan jarinya ke dalam darah domba itu, menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah.
35. Kemudian dia harus memisahkan semua lemak domba itu, sebagaimana dia memisahkan lemak domba yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Dia harus membakar lemak itu di atas mazbah bersama dengan persembahan makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN. Demikianlah cara imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN.