16. Kemudian Imam Agung harus membawa sebahagian daripada darah lembu itu ke dalam Khemah TUHAN.
17. Di situ dia harus mencelupkan jarinya ke dalam darah itu, lalu memercikkan darah itu tujuh kali di hadapan tirai yang memisahkan Bilik Suci.
18. Dia harus menyapukan sedikit daripada darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah tempat kemenyan yang terletak di dalam Khemah TUHAN, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah tempat membakar korban, yang terletak di hadapan pintu Khemah.
19. Selepas itu dia harus mengambil semua lemak lembu itu dan membakarnya di atas mazbah.
20. Hal yang dilakukannya pada lembu itu sama seperti yang dilakukannya pada lembu jantan bagi korban untuk mengampunkan dosa. Dengan cara ini, Imam Agung mempersembahkan korban untuk dosa segenap umat, lalu mereka akan diampuni oleh TUHAN.
21. Selepas itu Imam Agung harus membawa lembu itu ke luar perkhemahan dan membakarnya, sebagaimana dia membakar lembu bagi korban untuk mengampunkan dosanya sendiri. Inilah korban untuk mengampunkan dosa bagi segenap umat.
22. Jika seorang pemimpin berdosa dan bersalah kerana melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja,
23. sebaik sahaja dia menyedari dosanya, dia harus mempersembahkan seekor kambing jantan yang tidak ada kecacatan.
24. Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Inilah korban untuk mengampunkan dosa.
25. Imam yang bertugas harus mencelupkan jarinya ke dalam darah kambing itu, menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah.
26. Kemudian dia harus membakar semua lemak kambing itu di atas mazbah, sebagaimana dia membakar lemak binatang yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Demikianlah cara imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa seorang pemimpin, lalu pemimpin itu akan diampuni oleh TUHAN.
27. Jika seorang rakyat jelata berdosa dan bersalah kerana melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja,
28. sebaik sahaja dia menyedari dosanya, dia harus mempersembahkan seekor kambing betina yang tidak ada kecacatan.
29. Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.