Imamat 25:32-45 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

32. Namun peraturan bagi orang Lewi berbeza. Pada bila-bila sahaja, mereka berhak menebus harta mereka di kota yang ditetapkan bagi mereka.

33. Rumah di dalam salah satu kota itu, yang sudah dijual oleh seorang Lewi dan yang tidak ditebusnya, harus dikembalikan kepadanya pada Tahun Pengembalian. Hal itu demikian kerana rumah yang dimiliki orang Lewi di kota-kota itu milik tetap mereka di kalangan orang Israel.

34. Tetapi padang rumput di sekitar kota-kota orang Lewi tidak boleh dijual. Padang rumput itu kepunyaan mereka selama-lamanya.

35. Jika seorang sesama bangsa Israel, yang tinggal di kalangan kamu jatuh miskin dan tidak mampu menyara hidupnya, kamu harus membantu dia sebagaimana kamu membantu orang asing atau pendatang, supaya dia dapat terus tinggal di kalangan kamu.

36. Jangan tuntut faedah atas pinjamannya, tetapi taatlah kepada Allah dan biarlah sesama orang Israel tinggal di kalangan kamu.

37. Jangan tuntut faedah atas wang yang kamu pinjamkan kepadanya, dan jangan ambil keuntungan daripada makanan yang kamu jual kepadanya.

38. Inilah perintah TUHAN, Allah kamu, yang membawa kamu keluar dari Mesir untuk memberikan negeri Kanaan kepada kamu, supaya Dia menjadi Allah kamu.

39. Jika seorang sesama bangsa Israel, yang tinggal di kalangan kamu jatuh miskin lalu menjual dirinya kepada kamu sebagai abdi, jangan suruh dia melakukan pekerjaan abdi.

40. Biarlah dia tinggal bersama-sama kamu sebagai orang gaji dan bekerja untuk kamu sehingga Tahun Pengembalian yang akan datang.

41. Pada tahun itu, dia dan anak-anaknya boleh meninggalkan kamu lalu pulang kepada keluarganya sendiri dan ke tanah milik nenek moyangnya.

42. Umat Israel ialah hamba TUHAN dan Dia sudah membawa mereka keluar dari Mesir; itulah sebabnya mereka tidak boleh dijual sebagai abdi.

43. Jangan perlakukan dengan kasar orang Israel yang menjual diri mereka kepada kamu sebagai abdi, tetapi takutlah akan Allah kamu.

44. Jika kamu memerlukan abdi, kamu boleh membeli abdi daripada orang asing yang tinggal di sekitar kamu.

45. Kamu boleh juga membeli anak-anak orang asing yang tinggal di kalangan kamu. Anak-anak mereka yang lahir di negeri kamu boleh menjadi milik kamu.

Imamat 25