10. Dengan demikian kamu mengekhaskan tahun yang kelima puluh, dan mengisytiharkan kebebasan kepada segenap penduduk negeri. Pada tahun itu, segala harta milik yang sudah dijual mesti dikembalikan kepada pemilik asal atau kepada keturunan pemilik itu. Sesiapa yang sudah dijual sebagai abdi mesti dikembalikan kepada keluarganya.
11. Jangan tanami ladang kamu; jangan tuai gandum yang tumbuh dengan sendirinya di ladang kamu; jangan petik buah anggur dari pokok-pokok anggur yang tidak dipangkas di kebun kamu.
12. Tahun itu tahun yang suci untuk kamu. Apa yang tumbuh dengan sendirinya di ladang kamu, dan yang kamu sendiri ambil, itu sahaja yang boleh kamu makan.
13. Pada tahun itu, semua tanah yang sudah dijual mesti dikembalikan kepada pemilik asalnya.
14. Oleh sebab itu apabila kamu menjual tanah kepada sesama orang Israel, atau membeli tanah daripada mereka, jangan lakukan jual beli itu dengan tidak jujur.
15. Harga tanah itu mesti ditentukan menurut jumlah tahun tanah itu dapat mengeluarkan hasil sebelum Tahun Pengembalian yang akan datang.
16. Jika masih lama lagi, harga tanah itu lebih mahal, tetapi jika masih tinggal beberapa tahun sahaja, harganya mesti lebih murah kerana yang dijual itu adalah jumlah hasil tanah itu.
17. Jangan tipu sesama orang Israel, tetapi takutlah akan TUHAN, Allah kamu.
18. Patuhilah semua hukum dan perintah TUHAN supaya kamu hidup dengan tenteram di negeri itu.
19. Tanah negeri itu akan mengeluarkan hasil sehingga kamu mempunyai makanan yang cukup dan tinggal di sana dengan tenteram.
20. Tetapi mungkin ada orang yang akan bertanya, “Makanan apakah yang akan ada pada tahun ketujuh itu, kerana tanah tidak akan ditanami dan hasilnya tidak dipungut?”
21. TUHAN akan memberkati tanah itu pada tahun keenam, sehingga tanah itu menghasilkan makanan yang cukup untuk tiga tahun.