Imamat 23:22-37 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

22. Apabila kamu menuai gandum di ladang, jangan tuai gandum yang tumbuh di tepi ladang, dan jangan kembali ke ladang untuk menuai gandum yang tertinggal. Tinggalkan semua itu untuk orang miskin dan orang asing. TUHAN ialah Allah kamu.

23-24. Hari pertama bulan ketujuh harus dirayakan sebagai hari yang khas untuk berehat. Apabila trompet ditiup pada hari itu, kamu harus berkumpul untuk beribadat.

25. Persembahkanlah persembahan makanan kepada TUHAN, dan jangan lakukan pekerjaan harian pada hari itu.

26-27. Hari kesepuluh bulan tujuh adalah hari untuk melakukan upacara tahunan bagi pengampunan dosa umat Israel. Pada hari itu kamu harus berpuasa dan berkumpul untuk beribadat, serta mempersembahkan persembahan makanan kepada TUHAN.

28. Jangan bekerja pada hari itu, kerana hari itu adalah hari untuk melakukan upacara pengampunan dosa, supaya kamu mendapat keampunan di hadapan TUHAN, Allah kamu.

29. Sesiapa yang makan pada hari itu tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah.

30. Sesiapa yang bekerja pada hari itu akan dibinasakan oleh TUHAN sendiri.

31. Peraturan ini mesti dipatuhi oleh semua keturunan kamu, di mana sahaja mereka tinggal.

32. Mulai dari saat matahari terbenam pada hari kesembilan bulan itu, sehingga saat matahari terbenam pada hari kesepuluh bulan yang sama, kamu harus merayakannya seperti hari Sabat, hari yang khas untuk berehat. Kamu mesti berpuasa sepanjang hari itu.

33-34. Perayaan Pondok Daun bermula pada hari kelima belas bulan ketujuh dan berlangsung selama tujuh hari.

35. Pada hari pertama perayaan itu, kamu harus berkumpul untuk beribadat. Jangan lakukan pekerjaan harian pada hari itu.

36. Setiap hari selama tujuh hari, kamu harus mempersembahkan persembahan makanan. Pada hari kelapan, kamu harus berkumpul lagi untuk beribadat dan kamu harus mempersembahkan persembahan makanan. Hari itu adalah hari untuk beribadat; kamu tidak boleh melakukan pekerjaan harian pada hari itu.

37. Inilah perayaan-perayaan agama yang ditetapkan oleh TUHAN, dan yang mesti kamu rayakan. Pada masa perayaan itu kamu mesti menghormati TUHAN dengan berkumpul bersama-sama untuk beribadat dan mempersembahkan persembahan makanan, korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban untuk mengucap syukur, korban-korban, dan korban wain, sebagaimana yang ditetapkan untuk setiap hari.

Imamat 23