Imamat 14:19-36 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

19. Kemudian imam harus mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa dan melakukan upacara penyucian. Selepas itu dia harus menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN,

20. dan mempersembahkannya bersama-sama korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, di atas mazbah. Dengan cara ini, imam melakukan upacara penyucian, lalu orang itu tahir.

21. Jika orang itu miskin dan tidak mampu memberikan persembahan yang ditetapkan, bagi penyuciannya dia boleh mempersembahkan hanya seekor anak domba jantan bagi korban untuk membayar ganti rugi, iaitu korban istimewa bagi TUHAN. Biarlah orang itu membawa hanya satu kilogram tepung terbaik yang bercampur minyak zaitun, dan sepertiga liter minyak zaitun bagi korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN.

22. Dia juga harus membawa dua ekor burung merpati atau burung tekukur, seekor bagi korban untuk mengampunkan dosa dan seekor lagi bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.

23. Pada hari kelapan masa penyucian orang itu, dia harus membawa semua persembahan itu kepada imam di pintu Khemah TUHAN.

24. Imam akan mengambil anak domba dan minyak zaitun itu lalu mempersembahkannya sebagai persembahan istimewa bagi TUHAN, dan bahagian ini menjadi milik imam itu.

25. Dia akan menyembelih anak domba itu dan mengambil sedikit darahnya, lalu menyapukannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan pada ibu jari kaki kanan orang itu.

26. Imam akan menuangkan sedikit minyak itu ke atas telapak tangan kirinya sendiri,

27. lalu dengan jari tangan kanannya dia memercikkan minyak itu tujuh kali di dalam Khemah TUHAN.

28. Imam harus menyapukan sedikit minyak itu pada tempat-tempat dia menyapukan darah itu: pada cuping telinga kanan orang itu, pada ibu jari tangan kanannya, dan pada ibu jari kaki kanannya.

29. Imam harus menyapukan sisa minyak yang di telapak tangannya pada kepala orang itu untuk upacara penyucian dirinya di hadapan TUHAN.

30. Kemudian imam harus mempersembahkan seekor daripada dua ekor burung merpati atau burung tekukur itu

31. sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bersama-sama korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian orang itu di hadapan TUHAN.

32. Inilah peraturan bagi orang yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan, tetapi tidak mampu membayar persembahan yang sudah ditetapkan bagi upacara penyuciannya.

33. TUHAN memberi Musa dan Harun

34-35. peraturan-peraturan berikut tentang rumah yang kena kulapuk yang merebak. Peraturan ini mesti dipatuhi sesudah umat Israel masuk ke negeri Kanaan, yang akan diberikan TUHAN kepada mereka sebagai milik mereka. Sesiapa yang mendapati bahawa TUHAN sudah mendatangkan kulapuk di dalam rumahnya, harus memberitahukan hal itu kepada imam.

36. Imam akan member1 arahan supaya segala yang ada di dalam rumah itu dikeluarkan sebelum dia memeriksa kulapuk itu. Jika tidak, segala yang ada di dalam rumah itu akan diumumkan sebagai najis. Selepas itu imam akan pergi ke rumah itu

Imamat 14