Ibrani 7:7-20 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

7. Tidak dapat diragukan lagi bahawa orang yang diberkati lebih rendah kedudukannya daripada orang yang memberkati.

8. Imam-imam yang memungut sepersepuluh bahagian itu manusia biasa yang tentu akan mati. Tetapi menurut Alkitab, Melkisedek yang menerima sepersepuluh bahagian itu tetap hidup.

9. Boleh dikatakan bahawa ketika Abraham membayar sepersepuluh bahagian itu, Lewi juga membayarnya (walaupun keturunannya memungut sepersepuluh bahagian daripada umat Israel.)

10. Pada masa Melkisedek berjumpa dengan Abraham, Lewi belum lahir tetapi boleh dikatakan sudah ada di dalam tubuh Abraham nenek moyangnya.

11. Imam-imam keturunan Lewi merupakan asas hukum Taurat, yang diberikan kepada umat Israel. Jika apa yang dilakukan imam-imam suku Lewi dahulu itu sempurna, maka tidak perlu ada imam lain seperti Imam Melkisedek, yang bukan keturunan Imam Harun.

12. Apabila ada perubahan dalam keimaman, hukum Taurat pun mesti berubah.

13. Yang dimaksudkan di sini adalah Tuhan kita. Dia daripada suku lain, dan belum pernah seorang pun daripada suku-Nya bertugas sebagai imam.

14. Semua orang tahu bahawa Tuhan kita berasal daripada suku Yehuda; dan Musa tidak pernah menyebut suku itu ketika dia berucap tentang imam-imam.

15. Hal yang dibincangkan itu menjadi lebih jelas sekarang: Seorang imam lain sudah datang, imam seperti Melkisedek.

16. Dia dilantik menjadi imam, tidak menurut hukum atau peraturan manusia, tetapi berdasarkan hidupnya yang berkuasa dan tidak berkesudahan.

17. Di dalam Alkitab tertulis, “Engkau akan menjadi imam selama-lamanya, seperti Imam Melkisedek.”

18. Oleh itu peraturan yang lama telah dibatalkan, kerana lemah dan tidak berguna.

19. Taurat Musa tidak dapat menyempurnakan sesuatu pun. Sekarang kita diberikan suatu harapan yang lebih baik, dan dengannya kita dapat mendekati Allah.

20. Tambahan pula, semua itu disertai sumpah daripada Allah. Apabila imam-imam lain dilantik, tidak ada sumpah seperti itu.

Ibrani 7