1. Imam Melkisedek ialah raja Salem dan imam Allah Yang Maha Tinggi. Ketika Abraham balik dari peperangan mengalahkan empat orang raja, Melkisedek menjumpainya dan memberkatinya.
2. Lalu Abraham memberi Melkisedek sepersepuluh daripada segala apa yang dirampasnya. (Pertama sekali nama Melkisedek bermakna “Raja Keadilan.” Oleh sebab dia raja Salem, namanya juga bermakna “Raja Kesejahteraan.”)
3. Tidak ada catatan tentang ibu bapa Melkisedek ataupun nenek moyangnya. Tidak ada catatan tentang kelahirannya ataupun kematiannya. Dia seperti Anak Allah; dia menjadi imam selama-lamanya.
4. Lihatlah betapa tingginya kedudukan Melkisedek. Abraham, bapa bangsa kita, memberi dia sepersepuluh daripada segala yang didapatinya daripada peperangan itu.
5. Menurut hukum Taurat, imam-imam keturunan suku Lewi harus memungut sepersepuluh daripada pendapatan umat Israel, iaitu saudara-saudara mereka sendiri, walaupun mereka juga keturunan Abraham.
6. Melkisedek bukan keturunan suku Lewi, tetapi dia menerima sepersepuluh daripada apa yang sudah diterima oleh Abraham, dan memberkati yang telah menerima janji Allah.
7. Tidak dapat diragukan lagi bahawa orang yang diberkati lebih rendah kedudukannya daripada orang yang memberkati.
8. Imam-imam yang memungut sepersepuluh bahagian itu manusia biasa yang tentu akan mati. Tetapi menurut Alkitab, Melkisedek yang menerima sepersepuluh bahagian itu tetap hidup.
9. Boleh dikatakan bahawa ketika Abraham membayar sepersepuluh bahagian itu, Lewi juga membayarnya (walaupun keturunannya memungut sepersepuluh bahagian daripada umat Israel.)
10. Pada masa Melkisedek berjumpa dengan Abraham, Lewi belum lahir tetapi boleh dikatakan sudah ada di dalam tubuh Abraham nenek moyangnya.
11. Imam-imam keturunan Lewi merupakan asas hukum Taurat, yang diberikan kepada umat Israel. Jika apa yang dilakukan imam-imam suku Lewi dahulu itu sempurna, maka tidak perlu ada imam lain seperti Imam Melkisedek, yang bukan keturunan Imam Harun.
12. Apabila ada perubahan dalam keimaman, hukum Taurat pun mesti berubah.
13. Yang dimaksudkan di sini adalah Tuhan kita. Dia daripada suku lain, dan belum pernah seorang pun daripada suku-Nya bertugas sebagai imam.
14. Semua orang tahu bahawa Tuhan kita berasal daripada suku Yehuda; dan Musa tidak pernah menyebut suku itu ketika dia berucap tentang imam-imam.