5. Janganlah hidup kamu dikuasai oleh cinta akan wang. Hendaklah kamu puas hati dengan apa yang kamu miliki. Allah sudah berfirman, “Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu.”
6. Oleh itu, dengan penuh keyakinan kita berkata,“Tuhan Penolongku,aku tidak akan takut.Apakah yang dapat dilakukan orang terhadap aku?”
7. Janganlah lupa akan pemimpin-pemimpin kamu yang dahulu menyampaikan perkhabaran Allah kepada kamu. Ingatlah bagaimana mereka hidup dan mati, dan contohilah iman mereka.
8. Yesus Kristus tetap sama, baik dahulu, sekarang, dan selama-lamanya.
9. Janganlah biarkan segala macam ajaran ganjil menyesatkan kamu. Hati kita harus dikuatkan oleh rahmat Allah, bukan oleh ketaatan kepada peraturan tentang makanan. Orang yang mentaati peraturan itu tidak mendapat faedah daripadanya.
10. Imam-imam yang bertugas di Khemah Tuhan tidak berhak untuk mendapat bahagian daripada korban di atas mazbah kita.
11. Imam Agung Yahudi membawa darah binatang ke dalam Bilik Maha Suci untuk mempersembahkannya sebagai korban untuk mengampunkan dosa, tetapi bangkai binatang itu dibakar di luar perkhemahan.
12. Itulah sebabnya Yesus juga mati di luar pintu gerbang kota, untuk menyucikan umat-Nya daripada dosa dengan darah-Nya sendiri.
13. Oleh itu, marilah kita pergi kepada-Nya di luar perkhemahan dan tanggung hinaan bersama-sama Dia.
14. Hal itu demikian, kerana di bumi tidak ada kota yang kekal untuk kita; kita mencari kota yang akan datang.
15. Oleh itu, marilah kita sentiasa persembahkan puji-pujian sebagai korban kepada Allah melalui Yesus. Kata-kata pujian itu persembahan kita, apabila kita mengaku Dia sebagai Tuhan kita.
16. Jangan lupa berbuat baik dan saling menolong, kerana perkara itu seperti korban yang menyenangkan hati Allah.
17. Taatilah pemimpin kamu dan turutlah perintah mereka. Tanpa mengenal lelah mereka memperhatikan kamu, kerana mereka harus bertanggungjawab kepada Allah bagi pelayanan mereka. Jika kamu taat kepada mereka, mereka dapat bekerja dengan sukacita. Jika tidak, mereka akan bekerja dengan dukacita, dan hal ini tidak berfaedah bagi kamu.
18. Teruslah berdoa untuk kami. Kami yakin bahawa hati nurani kami murni, kerana kami selalu ingin melakukan perkara yang benar.