15. Mereka tidak selalu memikirkan negeri yang sudah ditinggalkan. Jika mereka selalu memikirkannya, mereka berpeluang kembali ke negeri itu.
16. Sebaliknya, mereka merindukan sebuah negeri yang lebih baik, iaitu negeri yang di syurga. Itulah sebabnya Allah tidak malu apabila mereka menyebut Dia sebagai Allah mereka, kerana Allah sudah menyediakan sebuah kota untuk mereka.
17. Kerana beriman, Abraham mempersembahkan anaknya, Ishak, sebagai korban, ketika Allah menguji Abraham. Allah memberikan janji-Nya kepada Abraham, namun Abraham bersedia mempersembahkan anaknya yang tunggal sebagai korban.
18. Allah sudah berfirman kepadanya, “Melalui Ishak engkau akan beroleh keturunan yang Aku janjikan.”
19. Abraham yakin bahawa Allah berkuasa membangkitkan Ishak daripada kematian. Oleh itu boleh dikatakan, Abraham sudah menerima Ishak kembali daripada kematian.
20. Kerana beriman, Ishak menjanjikan berkat untuk masa depan bagi Yakub dan Esau.
21. Kerana beriman, Yakub memberkati setiap anak Yusuf sebelum Yakub meninggal. Yakub bersandar pada kepala tongkatnya dan menyembah Allah.
22. Kerana beriman, Yusuf ketika hampir meninggal berkata tentang keluarnya orang Israel dari Mesir. Dia juga berpesan tentang apa yang harus dilakukan dengan jenazahnya.
23. Kerana beriman, ibu bapa Musa menyembunyikan dia selama tiga bulan setelah dia lahir. Mereka melihat bahawa Musa bayi yang comel, dan mereka tidak takut menentang titah raja.
24. Kerana beriman, Musa sesudah menjadi dewasa, tidak mahu disebut anak puteri raja Mesir.
25. Musa lebih suka menderita bersama-sama umat Allah daripada menikmati kesenangan hidup berdosa untuk sementara waktu.
26. Musa berpendapat bahawa jauh lebih berharga menanggung hinaan bagi Penyelamat yang diutus oleh Allah daripada mendapat segala harta negeri Mesir, kerana Musa mengharapkan pahala pada masa yang akan datang.
27. Kerana beriman, Musa meninggalkan Mesir tanpa berasa takut akan kemurkaan raja. Musa tidak mahu berpatah balik, kerana seolah-olah dia sudah nampak Allah yang tidak kelihatan itu.
28. Kerana beriman, Musa memulakan Paska dan memberikan perintah supaya darah dipercikkan pada pintu, agar Malaikat Maut tidak membunuh anak laki-laki sulung orang Israel.
29. Kerana beriman, orang Israel dapat menyeberang Laut Merah, seolah-olah mereka berjalan di atas tanah yang kering. Ketika orang Mesir cuba menyeberang, mereka mati lemas di dalam laut itu.
30. Kerana beriman, orang Israel menyebabkan tembok-tembok Yerikho roboh setelah mereka mengelilinginya selama tujuh hari.
31. Kerana beriman, Rahab, wanita pelacur itu, tidak turut terbunuh bersama-sama orang yang melawan Allah, kerana dia menyambut pengintip-pengintip Israel dengan ramah.
32. Perlukah aku meneruskannya? Masa tidak cukup bagiku untuk bertutur tentang Gideon, Barak, Simson, Yefta, Daud, Samuel, dan nabi-nabi.