4. Darah lembu jantan dan darah kambing tidak dapat menghapuskan dosa.
5. Itulah sebabnya pada masa Kristus hampir datang ke dunia, Dia berkata kepada Allah,“Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan,tetapi Engkau sudah menyediakan tubuh bagi-Ku.
6. Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu,ataupun korban untuk menghapuskan dosa.
7. Lalu Aku berkata, ‘Inilah Aku, ya Allah,Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu,seperti yang tertulis di dalam kitab Taurat tentang diri-Ku.’ ”
8. Mula-mula Kristus berkata, “Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan; Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, dan korban untuk menghapuskan dosa.” Dia berkata demikian meskipun segala korban itu dipersembahkan menurut Taurat.
9. Setelah itu Dia berkata, “Inilah Aku, ya Allah. Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu.” Oleh itu, Allah meniadakan segala korban yang lama itu, lalu menggantikannya dengan korban Kristus.
10. Yesus Kristus melakukan kehendak Allah, dan mempersembahkan diri-Nya sendiri sebagai korban. Hal itu dilakukan-Nya satu kali sahaja untuk selama-lamanya. Dengan persembahan itu, kita semua dibersihkan daripada dosa.
11. Setiap imam Yahudi menjalankan tugas tiap-tiap hari dan berulang kali mempersembahkan korban yang sama. Tetapi korban-korban itu sama sekali tidak dapat menghapuskan dosa.