12. Sebaliknya, Kristus mempersembahkan hanya satu korban untuk pengampunan dosa, dan korban itu berlaku untuk selama-lamanya. Setelah itu Dia duduk di sebelah kanan Allah.
13. Sekarang Dia menantikan masanya Allah menjadikan musuh-musuh-Nya sebagai alas kaki-Nya.
14. Demikianlah dengan satu korban, untuk selama-lamanya Dia menyempurnakan orang yang sudah disucikan daripada dosa.
15. Roh Allah juga memberikan kesaksian kepada kita. Roh Allah berkata,
16. “Inilah perjanjian yang akan Aku buat dengan mereka pada masa akan datang, firman Tuhan,Aku akan menanamkan hukum-Ku di dalam hati mereka,dan menuliskannya di dalam fikiran mereka.”
17. Dia juga berkata, “Aku akan melupakan segala dosa dan kejahatan mereka.”
18. Oleh itu, apabila segala dosa dan kejahatan itu sudah diampunkan, persembahan korban untuk pengampunan dosa tidak diperlukan lagi.
19. Oleh itu, saudara-saudara-ku, dengan kematian Yesus kita mempunyai kebebasan penuh untuk masuk ke Bilik Maha Suci.
20. Yesus sudah membuka satu jalan baru bagi kita, jalan yang memberikan kehidupan. Jalan itu melalui tirai, iaitu tubuh Yesus sendiri.
21. Sekarang kita mempunyai imam agung, yang bertanggungjawab terhadap rumah Allah.
22. Oleh itu, marilah kita hampiri Allah dengan hati yang tulus dan iman yang teguh, dengan hati yang sudah disucikan daripada perasaan bersalah, dan dengan tubuh yang sudah dibersihkan oleh air bersih.
23. Hendaklah kita berpegang teguh kepada harapan yang kita akui, kerana Allah dapat dipercayai dan Dia akan menepati janji-Nya.