5. Selepas itu dia pergi ke rumah bapanya di Ofra. Di sana, di atas sebuah batu dia membunuh tujuh puluh orang anak lelaki Gideon, saudara-saudaranya itu. Tetapi Yotam, anak bongsu Gideon, menyembunyikan diri sehingga tidak terbunuh.
6. Kemudian penduduk Sikhem dan Bet-Milo berkumpul. Mereka pergi ke bawah pokok oak, iaitu pokok keramat di Sikhem, lalu menabalkan Abimelekh menjadi raja.
7. Apabila Yotam mendengar hal itu, dia berdiri di puncak Gunung Gerizim lalu berseru kepada mereka, “Dengarkan perkataanku, hai penduduk Sikhem, supaya Allah pun mendengarkan kamu!
8. Pada suatu masa, pokok-pokok berkumpul untuk memilih salah satu di kalangan mereka sebagai raja. Mereka berkata kepada pokok zaitun, ‘Jadilah raja kami.’
9. Pokok zaitun menjawab, ‘Aku tidak dapat berhenti menghasilkan minyak yang digunakan untuk menghormati dewa dan manusia, semata-mata untuk memerintah kamu.’
10. Kemudian pokok-pokok itu berkata kepada pokok ara, ‘Kamu sajalah yang menjadi raja kami.’
11. Tetapi pokok ara itu menjawab, ‘Aku tidak dapat berhenti menghasilkan buah yang manis, semata-mata untuk memerintah kamu.’
12. Oleh sebab itu, pokok-pokok itu berkata kepada pokok anggur, ‘Kamu sajalah yang menjadi raja kami.’
13. Tetapi pokok anggur itu menjawab, ‘Aku tidak dapat berhenti menghasilkan wain yang menyukakan hati dewa dan manusia, semata-mata untuk memerintah kamu.’
14. Oleh sebab itu, semua pokok itu berkata kepada semak berduri, ‘Kamu sajalah yang menjadi raja kami.’
15. Semak berduri menjawab, ‘Jika dengan tulus hati kamu mahu aku menjadi raja kamu, marilah berlindung di bawah naunganku. Tetapi jika tidak, api akan keluar dari cabang-cabangku yang berduri dan membakar semua pokok sedar di Lebanon.’ ”
16. “Ingatlah baik-baik,” Yotam meneruskan lagi, “Adakah kamu tulus hati ketika kamu menabalkan Abimelekh menjadi raja? Adakah kamu menghormati Gideon dan memperlakukan keluarganya dengan sepatutnya kerana jasanya?
17. Ingatlah bahawa bapaku telah berjuang untuk kamu. Dia telah mempertaruhkan nyawanya untuk membebaskan kamu daripada orang Midian.
18. Tetapi sekarang kamu memberontak terhadap keluarga bapaku. Kamu membunuh tujuh puluh orang anak lelakinya di atas sebuah batu, lalu menabalkan Abimelekh semata-mata kerana dia saudara kamu. Abimelekh ialah anak bapaku daripada hamba perempuannya.
19. Jika tindakan kamu terhadap Gideon dan keluarganya pada hari ini memang dilakukan dengan tulus dan ikhlas, bergembiralah kamu dengan Abimelekh, dan biarlah dia juga bergembira dengan kamu.