Hakim-Hakim 9:35-44 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

35. Apabila Gaal keluar dan berdiri di pintu gerbang kota, Abimelekh dan anak buahnya keluar dari tempat persembunyian.

36. Ketika Gaal nampak mereka, dia berkata kepada Zebul, “Lihat, ada orang turun ke mari dari puncak-puncak gunung!”Tetapi Zebul berkata, “Ah, itu cuma bayang-bayang di gunung; bukan orang.”

37. Gaal berkata lagi, “Lihatlah, orang sedang turun dari rabung gunung, dan sekumpulan orang sedang menuju ke mari dari arah pokok oak tukang tilik!”

38. Zebul berkata kepada Gaal, “Nah, selama ini kamu pandai bercakap besar. Dahulu kamu bertanya, ‘Mengapa kita harus menjadi hamba Abimelekh?’ Inilah mereka yang kamu hina. Ayuh, majulah dan seranglah mereka.”

39. Gaal memimpin orang Sikhem keluar untuk melawan Abimelekh.

40. Tetapi Abimelekh menyerang Gaal sehingga dia melarikan diri. Orang yang cedera berjatuhan, sampai di depan pintu gerbang kota.

41. Kemudian Abimelekh kembali ke Aruma, lalu menetap di sana. Zebul mengusir Gaal dan saudara-saudaranya sehingga mereka tidak dapat tinggal di Sikhem lagi.

42. Esok harinya, Abimelekh diberitahu bahawa penduduk Sikhem bercadang untuk pergi ke ladang.

43. Oleh itu Abimelekh membawa anak buahnya, membahagikan mereka kepada tiga pasukan, lalu bersembunyi di ladang. Apabila Abimelekh nampak penduduk kota itu meninggalkan kota, dia keluar dari tempat persembunyian lalu membunuh mereka.

44. Abimelekh dan pasukannya cepat-cepat maju menyerbu pintu gerbang kota itu. Sementara itu dua pasukannya yang lain menyerang orang yang di ladang dan membunuh mereka semua.

Hakim-Hakim 9