Hakim-Hakim 9:18-36 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

18. Tetapi sekarang kamu memberontak terhadap keluarga bapaku. Kamu membunuh tujuh puluh orang anak lelakinya di atas sebuah batu, lalu menabalkan Abimelekh semata-mata kerana dia saudara kamu. Abimelekh ialah anak bapaku daripada hamba perempuannya.

19. Jika tindakan kamu terhadap Gideon dan keluarganya pada hari ini memang dilakukan dengan tulus dan ikhlas, bergembiralah kamu dengan Abimelekh, dan biarlah dia juga bergembira dengan kamu.

20. Tetapi jika tidak, biarlah api keluar daripada Abimelekh lalu membakar habis penduduk Sikhem dan Bet-Milo. Begitu juga, biarlah api keluar dari penduduk Sikhem dan Bet-Milo lalu membakar habis Abimelekh.”

21. Selepas itu Yotam lari lalu tinggal di Beer kerana dia takut terhadap Abimelekh, saudaranya itu.

22. Abimelekh memerintah Israel selama tiga tahun.

23. Selepas itu TUHAN menimbulkan permusuhan antara Abimelekh dengan penduduk Sikhem, sehingga mereka memberontak terhadap Abimelekh.

24. Hal itu berlaku supaya terbalas kejahatan Abimelekh dan penduduk Sikhem yang menghasut dia membunuh tujuh puluh orang anak lelaki Gideon.

25. Penduduk Sikhem menempatkan pengadang di puncak-puncak gunung untuk menangkap Abimelekh. Setiap orang yang lalu di situ dirompak oleh pengadang-pengadang itu. Kemudian hal itu dilapor kepada Abimelekh.

26. Pada masa itu, Gaal anak Ebed berpindah ke Sikhem dengan saudara-saudaranya. Penduduk Sikhem percaya kepadanya.

27. Mereka semua pergi ke ladang anggur dan memetik buah anggur. Lalu mereka memeras buah anggur itu, menyediakan wain, dan mengadakan pesta. Mereka makan minum di dalam kuil dewa mereka, sambil memperolok-olokkan Abimelekh.

28. Gaal berkata, “Kita ini penduduk Sikhem. Tetapi siapakah Abimelekh sehingga kita mesti menjadi hambanya? Bukankah dia anak Gideon? Abimelekh dengan Zebul, wakilnya pernah diperhambakan Hemor, bapa Sikhem, nenek moyang kita. Mengapa kita mesti diperhambakan oleh Abimelekh? Setialah kepada nenek moyang kita Hemor!

29. Andaikata saya menjadi pemimpin penduduk Sikhem, saya pasti akan melenyapkan Abimelekh! Saya akan berkata kepadanya, ‘Perkuatlah tentera kamu, dan keluarlah untuk berperang!’ ”

30. Zebul, penguasa kota Sikhem, marah ketika dia mendengar cabaran Gaal.

31. Zebul mengutus orang menyampaikan pesan ini kepada Abimelekh di Aruma, “Gaal anak Ebed dan saudara-saudaranya telah datang ke Sikhem. Mereka telah menghasut penduduk kota ini supaya melawan tuan.

32. Oleh itu, hendaklah tuan dan anak buah tuan berangkat pada waktu malam lalu bersembunyi di ladang.

33. Esok pagi, ketika fajar menyingsing, seranglah kota itu dengan mendadak. Apabila Gaal dan anak buahnya keluar melawan tuan, itulah kesempatan tuan untuk menyerang mereka dengan segenap kekuatan!”

34. Kemudian Abimelekh dan anak buahnya bergerak pada waktu malam. Mereka berpecah menjadi empat pasukan lalu pergi bersembunyi di luar kota Sikhem.

35. Apabila Gaal keluar dan berdiri di pintu gerbang kota, Abimelekh dan anak buahnya keluar dari tempat persembunyian.

36. Ketika Gaal nampak mereka, dia berkata kepada Zebul, “Lihat, ada orang turun ke mari dari puncak-puncak gunung!”Tetapi Zebul berkata, “Ah, itu cuma bayang-bayang di gunung; bukan orang.”

Hakim-Hakim 9