Hakim-Hakim 8:20-34 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

20. Kemudian Gideon berkata kepada Yeter, anak sulungnya yang lelaki, “Bunuhlah mereka!” Tetapi Yeter tidak menghunus pedangnya. Dia takut kerana dia masih muda.

21. Zebah dan Salmuna berkata kepada Gideon, “Ayuh, kalau engkau lelaki, bunuhlah kami dengan tanganmu sendiri!” Oleh itu Gideon membunuh mereka, lalu mengambil semua perhiasan yang ada pada leher unta mereka.

22. Selepas itu umat Israel berkata kepada Gideon, “Tuan telah menyelamatkan kami daripada kekuasaan orang Midian. Sekarang hendaklah tuan menjadi pemimpin kami - tuan dan keturunan tuan.”

23. Gideon menjawab, “Saya tidak akan menjadi pemimpin kamu; anak saya pun tidak. TUHAN yang menjadi pemimpin kamu.”

24. Tetapi Gideon berkata lagi, “Hanya satu permintaan saya. Hendaklah kamu memberi saya anting-anting yang telah kamu rampas daripada musuh.” (Orang Midian seperti bangsa-bangsa lain yang tinggal di padang gurun, semuanya beranting-anting emas.)

25. Umat Israel menjawab, “Kami rela memberikannya kepada tuan.” Mereka membentangkan sehelai kain, lalu tiap-tiap orang meletakkan anting-anting yang telah dirampasnya di situ.

26. Semua anting-anting emas yang diberikan kepada Gideon pada masa itu beratnya hampir dua puluh kilogram, tidak termasuk perhiasan-perhiasan, kalung, dan kain ungu yang dipakai oleh raja-raja Midian, serta rantai yang dikenakan pada leher unta mereka.

27. Daripada emas itu, Gideon membuat sebuah patung berhala, lalu meletakkannya di Ofra, kampung halamannya. Segenap umat Israel pergi ke sana untuk menyembah berhala itu, sehingga mereka tidak lagi menyembah Allah. Perkara itu menjadi perangkap bagi Gideon dan keluarganya.

28. Demikianlah orang Midian dikalahkan oleh umat Israel. Orang Midian tidak lagi menjadi ancaman kepada mereka. Negeri itu aman selama empat puluh tahun, selama Gideon masih hidup.

29. Selepas peperangan itu, Gideon balik ke kampung halamannya dan tinggal di sana.

30. Dia mempunyai tujuh puluh orang anak lelaki kerana isterinya banyak.

31. Dia juga mempunyai seorang gundik di Sikhem. Gundik itu melahirkan seorang anak lelaki untuknya yang dinamakannya Abimelekh.

32. Gideon anak Yoas meninggal ketika umurnya sangat lanjut. Dia dikebumikan di kuburan bapanya, Yoas. Kuburan itu terletak di Ofra, kota puak Abiezer.

33. Setelah Gideon meninggal, umat Israel tidak lagi setia kepada Allah. Mereka menyembah dewa-dewa Baal dan menjadikan Baal-Berit dewa mereka.

34. Mereka tidak lagi beribadat kepada TUHAN, Allah mereka, yang telah membebaskan mereka daripada kekuasaan semua musuh di sekeliling mereka.

Hakim-Hakim 8