Hakim-Hakim 1:22-23-32 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

3. Suku Yehuda berkata kepada suku Simeon, “Bantulah kami memerangi orang Kanaan dan menduduki wilayah yang ditentukan TUHAN untuk kami. Selepas itu kami pula akan membantu kamu menduduki wilayah yang ditentukan TUHAN untuk kamu.” Oleh itu suku Simeon

4. pergi berperang bersama dengan suku Yehuda. TUHAN memberi mereka kemenangan atas orang Kanaan dan orang Feris. Mereka mengalahkan sepuluh ribu orang askar di Bezek.

5. Mereka menjumpai Raja Adoni-Bezek, dan menyerang baginda.

6. Raja Adoni-Bezek melarikan diri, tetapi mereka mengejar dan menangkap baginda. Mereka memotong ibu jari tangan dan ibu jari kakinya.

7. Raja Adoni-Bezek bertitah, “Dahulu beta memotong ibu jari tangan dan ibu jari kaki tujuh puluh orang raja, dan mereka memungut sisa makanan di bawah meja beta. Sekarang Allah memperlakukan beta seperti beta memperlakukan mereka.” Kemudian Raja Adoni-Bezek dibawa ke Yerusalem, lalu baginda mangkat di sana.

8. Orang Yehuda menyerang Yerusalem, lalu merebut dan membakar kota itu, serta membunuh penduduknya.

9. Selepas itu mereka berperang dengan orang Kanaan yang tinggal di kawasan perbukitan, di kaki-kaki bukit, dan di kawasan tanah gersang di sebelah selatan.

22-23. Suku Efraim dan suku Manasye menyerang kota Betel, yang ketika itu bernama Lus. TUHAN menolong mereka. Pengintip-pengintip yang diutus ke kota itu,

24. berjumpa dengan seorang lelaki yang datang dari kota itu. Mereka berkata kepadanya, “Tolong tunjukkan jalan masuk ke kota ini, dan kami akan memperlakukan kamu dengan baik.”

25. Lelaki itu menunjukkan jalan masuk ke kota itu kepada mereka. Kemudian orang daripada suku Efraim dan suku Manasye memasuki kota itu dan membunuh semua penduduknya, kecuali lelaki itu dan keluarganya.

26. Kemudian lelaki itu berpindah ke negeri orang Het dan membina sebuah kota di sana. Dia menamakan kota itu Lus; kota itu masih bernama demikian.

27. Suku Manasye tidak mengusir penduduk kota Bet-Sean, Taanakh, Dor, Yibleam, Megido, dan penduduk pekan-pekan di sekitarnya. Oleh itu orang Kanaan tetap tinggal di situ.

28. Setelah umat Israel bertambah kuat, mereka memaksa orang Kanaan bekerja untuk mereka, tetapi mereka masih tidak mengusir semua orang Kanaan dari situ.

29. Suku Efraim tidak mengusir orang Kanaan yang tinggal di kota Gezer. Oleh itu orang Kanaan masih tetap tinggal di situ bersama-sama mereka.

30. Suku Zebulon tidak mengusir penduduk kota Kitron dan Nahalol. Oleh itu orang Kanaan masih tetap tinggal di situ bersama-sama mereka. Tetapi orang Kanaan itu dipaksa bekerja untuk mereka.

31. Suku Asyer tidak mengusir penduduk kota Ako, Sidon, Ahlab, Akhzib, Helba, Afek, dan Rehob.

32. Oleh itu orang Kanaan, penduduk asli negeri itu masih tinggal di situ bersama-sama suku Asyer.

Hakim-Hakim 1