Hakim-Hakim 1:17-36 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

17. Kemudian suku Yehuda bersama dengan suku Simeon pergi menyerang dan mengalahkan orang Kanaan yang tinggal di kota Zefat. Mereka mengutuk kota itu dan memusnahkannya, lalu menamakannya Horma.

18-19. TUHAN menolong suku Yehuda sehingga mereka berjaya menduduki kawasan perbukitan. Tetapi mereka tidak berjaya merebut kota Gaza, Askelon, dan Ekron, serta kawasan di sekitar semua kota itu. Suku Yehuda tidak berjaya mengusir penduduk yang tinggal di sepanjang pantai itu, kerana penduduk di sana mempunyai kereta kuda yang dibuat daripada besi.

20. Sebagaimana yang diperintahkan Musa, Hebron diberikan kepada Kaleb, kerana dahulu tiga puak keturunan Enak telah diusir oleh Kaleb dari kota itu.

21. Tetapi suku Benyamin tidak berjaya mengusir orang Yebusi dari Yerusalem. Itulah sebabnya orang Yebusi masih tinggal di sana bersama-sama orang Benyamin.

22-23. Suku Efraim dan suku Manasye menyerang kota Betel, yang ketika itu bernama Lus. TUHAN menolong mereka. Pengintip-pengintip yang diutus ke kota itu,

24. berjumpa dengan seorang lelaki yang datang dari kota itu. Mereka berkata kepadanya, “Tolong tunjukkan jalan masuk ke kota ini, dan kami akan memperlakukan kamu dengan baik.”

25. Lelaki itu menunjukkan jalan masuk ke kota itu kepada mereka. Kemudian orang daripada suku Efraim dan suku Manasye memasuki kota itu dan membunuh semua penduduknya, kecuali lelaki itu dan keluarganya.

26. Kemudian lelaki itu berpindah ke negeri orang Het dan membina sebuah kota di sana. Dia menamakan kota itu Lus; kota itu masih bernama demikian.

27. Suku Manasye tidak mengusir penduduk kota Bet-Sean, Taanakh, Dor, Yibleam, Megido, dan penduduk pekan-pekan di sekitarnya. Oleh itu orang Kanaan tetap tinggal di situ.

28. Setelah umat Israel bertambah kuat, mereka memaksa orang Kanaan bekerja untuk mereka, tetapi mereka masih tidak mengusir semua orang Kanaan dari situ.

29. Suku Efraim tidak mengusir orang Kanaan yang tinggal di kota Gezer. Oleh itu orang Kanaan masih tetap tinggal di situ bersama-sama mereka.

30. Suku Zebulon tidak mengusir penduduk kota Kitron dan Nahalol. Oleh itu orang Kanaan masih tetap tinggal di situ bersama-sama mereka. Tetapi orang Kanaan itu dipaksa bekerja untuk mereka.

31. Suku Asyer tidak mengusir penduduk kota Ako, Sidon, Ahlab, Akhzib, Helba, Afek, dan Rehob.

32. Oleh itu orang Kanaan, penduduk asli negeri itu masih tinggal di situ bersama-sama suku Asyer.

33. Suku Naftali tidak mengusir penduduk kota Bet-Semes dan Bet-Anat. Oleh itu orang Kanaan, penduduk asli negeri itu masih tinggal di situ bersama-sama suku Naftali. Tetapi mereka dipaksa bekerja untuk suku Naftali.

34. Orang Amori mendesak suku Dan lari ke kawasan perbukitan dan tidak membiarkan mereka tinggal di kawasan dataran rendah.

35. Orang Amori masih tetap tinggal di Ayalon, Saalbim, dan Gunung Heres. Tetapi suku Efraim dan suku Manasye menguasai orang Amori dan memaksa mereka bekerja untuk kedua-dua suku itu.

36. Di sebelah utara Sela, sempadan wilayah orang Edom melalui Genting Akrabim.

Hakim-Hakim 1