Ezra 4:4-13 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

4. Selepas itu penduduk yang telah lama tinggal di negeri itu cuba menawarkan hati orang Yahudi dan menakut-nakuti mereka, supaya pembinaan itu dihentikan.

5. Mereka juga memberikan rasuah kepada para pegawai kerajaan Persia supaya menggagalkan pembinaan itu. Mereka berbuat demikian sepanjang pemerintahan Raja Kores, bahkan sampai ke masa pemerintahan Raja Darius.

6. Pada permulaan pemerintahan Raja Ahasweros, musuh penduduk Yehuda dan Yerusalem menulis surat tuduhan.

7. Pada masa pemerintahan Raja Artahsasta, raja Persia, peristiwa itu berulang lagi; Bislam, Mitredat, Tabeel, serta rakan-rakan mereka mengirim sepucuk surat kepada raja. Surat itu ditulis dalam bahasa Aram, dan perlu diterjemahkan ketika dibaca.

8. Selain itu, Gabenor Rehum dan Simsai setiausahanya, juga menulis surat berikut kepada Raja Artahsasta tentang Yerusalem,

9. “Surat ini daripada Gabenor Rehum, Setiausaha Simsai, dan rakan-rakan mereka, iaitu para hakim, serta semua pegawai Persia yang lain, yang berasal dari Erekh, Babel, dan Susan di tanah Elam;

10. bersama-sama bangsa-bangsa lain yang dipindahkan oleh Raja Asnapar yang Agung ke kota Samaria dan ke tempat lain di wilayah Efrat Barat.”

11. Kandungan surat itu seperti berikut,“Kepada Raja Artahsasta, daripada hamba-hamba tuanku dari Efrat Barat. Salam.

12. Hendaklah tuanku maklum bahawa orang Yahudi yang datang ke sini dari kawasan lain itu kini tinggal di Yerusalem dan sedang membina semula kota yang derhaka dan jahat itu. Mereka sudah mulai membina semula temboknya dan tidak lama lagi pembinaan itu akan selesai.

13. Jika kota itu dibina semula dan temboknya didirikan, penduduknya mungkin tidak mahu lagi membayar cukai. Oleh itu pendapatan kerajaan akan berkurangan.

Ezra 4