14. Dengan cara itu, orang Lewi dipisahkan daripada orang Israel lain supaya mereka menjadi milik-Ku.
15. Setelah engkau menyucikan dan mentahbiskan orang Lewi, mereka akan layak bertugas di Khemah-Ku.
16. Aku sudah menjadikan mereka pengganti semua anak lelaki sulung Israel, dan mereka menjadi milik-Ku sahaja.
17. Ketika Aku membunuh semua anak lelaki sulung orang Mesir, Aku mentahbiskan semua anak lelaki sulung daripada setiap keluarga Israel menjadi milik-Ku, dan juga setiap anak sulung jantan ternakan.
18. Tetapi sekarang Aku mengambil orang Lewi sebagai pengganti semua anak lelaki sulung Israel.
19. Aku menyerahkan orang Lewi kepada Harun dan anak-anak lelakinya sebagai pemberian daripada umat Israel, supaya orang Lewi dapat bertugas untuk orang Israel di Khemah-Ku. Orang Lewi juga akan meminta pengampunan daripada-Ku bagi umat Israel supaya umat itu tidak ditimpa bencana jika mereka datang terlalu dekat dengan Bilik Suci.”
20. Oleh itu Musa, Harun, dan segenap umat Israel mentahbiskan orang Lewi kepada TUHAN, menurut perintah TUHAN kepada Musa.
21. Orang Lewi menyucikan diri dan membasuh pakaian mereka, lalu Harun mentahbiskan mereka sebagai pemberian khas kepada TUHAN. Harun juga melakukan upacara penyucian bagi mereka.
22. Umat Israel melakukan semua yang diperintahkan TUHAN kepada Musa tentang orang Lewi. Dengan demikian orang Lewi layak bertugas di Khemah TUHAN di bawah pimpinan Harun dan anak-anak lelakinya.
23. TUHAN berfirman kepada Musa,
24. “Setiap orang Lewi yang berumur dua puluh lima tahun ke atas, harus menjalankan tugasnya di Khemah-Ku.
25. Apabila seorang Lewi berumur lima puluh tahun, dia dibebaskan daripada tugasnya.
26. Selepas itu dia boleh membantu sesama orang Lewi yang bertugas di Khemah-Ku, tetapi dia tidak lagi mempunyai tugas tetap. Begitulah caranya engkau mengatur tugas orang Lewi.”