1. Di dataran Moab, di pinggir Sungai Yordan, bertentangan dengan kota Yerikho, TUHAN berfirman kepada Musa,
2. “Beritahulah umat Israel bahawa dari tanah yang diterima, mereka harus memberi orang Lewi beberapa buah kota sebagai tempat tinggal dengan padang rumput di sekitar kota.
3. Kota-kota itu akan menjadi milik orang Lewi, dan mereka akan tinggal di sana. Padang-padang rumput itu untuk ternakan dan semua binatang lain yang dipelihara mereka.
4. Padang-padang rumput itu harus seluas 450 meter ke segala arah, diukur dari tembok kota.
5. Kawasan orang Lewi harus empat persegi, seluas 900 meter pada tiap-tiap segi. Kota itu harus terletak di tengah-tengah kawasan itu.
6. Kamu harus memberi orang Lewi enam buah kota perlindungan, supaya jika ada sesiapa yang membunuh orang dengan tidak sengaja, orang itu boleh lari ke salah satu kota itu. Selain itu, berikanlah juga 42 buah kota kepada mereka,
7. sehingga berjumlah 48 buah kota, dengan padang rumputnya.
8. Bilangan kota yang harus diberikan kepada orang Lewi ditentukan menurut banyaknya kota dan besarnya wilayah tiap-tiap suku itu.”
9. TUHAN berfirman kepada Musa
10. supaya memberitahu umat Israel, “Apabila kamu menyeberang Sungai Yordan dan pergi ke tanah Kanaan,
11. pilihlah beberapa buah kota perlindungan, supaya sesiapa yang membunuh orang dengan tidak sengaja, dapat lari ke kota itu.