Bilangan 31:16-36-40 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

16. Ingatlah bahawa kaum perempuanlah yang mengikut nasihat Bileam, sehingga menyebabkan orang Israel tidak taat kepada TUHAN di Peor. Hal itulah yang mendatangkan wabak kepada umat TUHAN.

17. Sekarang bunuhlah semua kanak-kanak lelaki dan semua perempuan yang bukan dara lagi,

18. tetapi ambillah semua gadis dan perempuan yang masih dara bagi diri kamu sendiri.

19. Semua orang di kalangan kamu yang sudah membunuh orang, ataupun yang sudah menyentuh mayat mesti tinggal di luar perkhemahan selama tujuh hari. Pada hari ketiga dan hari ketujuh, kamu mesti melakukan upacara penyucian diri bersama-sama semua perempuan yang sudah kamu tawan itu.

20. Sucikanlah juga semua pakaian dan apa sahaja yang dibuat daripada kulit, bulu kambing, ataupun kayu.”

21. Imam Eleazar berkata kepada mereka yang baru pulang dari pertempuran, “Inilah peraturan-peraturan yang diberikan TUHAN kepada Musa.

22-23. Segala sesuatu yang tahan api, seperti emas, perak, gangsa, besi, timah putih, atau timah hitam, mesti disucikan dengan melalukannya dalam api. Semua benda lain yang tidak tahan api harus disucikan dengan air upacara penyucian.

24. Pada hari ketujuh, kamu harus membasuh pakaian kamu. Barulah kamu tidak najis, dan kamu boleh masuk ke dalam perkhemahan.”

25. TUHAN berfirman kepada Musa,

26. “Engkau, Imam Eleazar, dan para pemimpin Israel yang lain, mesti menghitung semua barang jarahan, termasuk juga orang tawanan dan ternakan.

27. Bahagikanlah barang jarahan itu menjadi dua bahagian yang sama banyaknya. Sebahagian untuk askar-askar yang berperang dan sebahagian lagi untuk orang Israel yang lain.

28. Daripada bahagian yang diberikan kepada askar, ambillah seorang tawanan daripada tiap-tiap 500 orang tawanan, dan berilah mereka kepada Aku, TUHAN, sebagai sumbangan khas. Buatlah demikian juga dengan lembu, keldai, domba, dan kambing.

29. Berikanlah semuanya kepada Imam Eleazar sebagai sumbangan khas untuk Aku, TUHAN.

30. Daripada bahagian yang diberikan kepada umat Israel lain, ambillah seorang tawanan daripada tiap-tiap 50 orang tawanan. Demikian juga dengan lembu, keldai, domba, dan kambing. Berikanlah semuanya kepada orang Lewi yang mengurus Khemah-Ku.”

31. Musa dan Eleazar melaksanakan apa yang diperintahkan TUHAN.

32-35. Inilah yang dirampas askar-askar itu, selain jarahan yang disimpan oleh mereka sendiri: 675,000 ekor domba dan kambing, 72,000 ekor lembu, 61,000 ekor keldai, dan 32,000 orang anak dara.

36-40. Separuh daripada jumlah itu diberikan kepada askar-askar dengan perincian berikut: 337,500 ekor domba dan kambing, dan daripada jumlah itu yang diambil sebagai sumbangan khas untuk TUHAN adalah 675 ekor; 36,000 ekor lembu, dan daripada jumlah itu 72 ekor diambil sebagai sumbangan khas untuk TUHAN; 30,500 ekor keldai, dan daripada jumlah itu 61 ekor diambil sebagai sumbangan khas untuk TUHAN; 16,000 orang anak dara, dan daripada jumlah itu 32 orang diambil sebagai sumbangan khas untuk TUHAN.

Bilangan 31