Bilangan 28:16-27 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

16. Perayaan Paska bagi menghormati TUHAN harus diadakan pada hari keempat belas bulan pertama.

17. Pada lima belas hari bulan itu, perayaan agama dimulakan dan berlangsung selama tujuh hari. Pada masa itu hanya roti yang tidak beragi boleh dimakan.

18. Pada hari pertama perayaan itu, kamu harus berkumpul dan beribadat; jangan lakukan pekerjaan berat.

19. Persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN, sebagai persembahan makanan kepada-Nya: dua ekor lembu jantan muda, seekor domba jantan dan tujuh ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat.

20. Persembahkanlah korban untuk mengucap syukur menurut apa yang ditetapkan, iaitu tepung bercampur minyak zaitun: bagi setiap ekor lembu persembahkanlah tiga kilogram tepung, dua kilogram bagi domba jantan,

21. dan satu kilogram bagi setiap ekor anak domba jantan.

22. Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Dengan cara itu kamu melakukan upacara penyucian untuk umat itu.

23. Semua korban itu merupakan tambahan kepada korban yang dipersembahkan pada setiap pagi, iaitu korban untuk menyenangkan hati TUHAN.

24. Dengan cara itu juga, selama tujuh hari, kamu harus mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban itu merupakan tambahan kepada korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bersama dengan korban wain, yang dipersembahkan pada setiap hari. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN.

25. Pada hari ketujuh, kamu harus berkumpul untuk beribadat; jangan lakukan pekerjaan berat.

26. Pada hari pertama Perayaan Menuai, apabila kamu mempersembahkan gandum baru kepada TUHAN, kamu harus berkumpul untuk beribadat; jangan lakukan pekerjaan berat.

27. Persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN, iaitu dua ekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan tujuh ekor domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN.

Bilangan 28