Bilangan 22:8-20 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

8. Tetapi Bileam menjawab, “Bermalamlah di sini. Esok saya akan memberitahu kamu pesan TUHAN kepada saya.” Kemudian para pemimpin Moab itu menginap di tempat Bileam.

9. Allah datang kepada Bileam dan bertanya, “Siapakah semua orang ini yang tinggal dengan engkau?”

10. Bileam menjawab, “Mereka utusan Raja Balak dari tanah Moab untuk memberitahu aku

11. bahawa satu bangsa sudah datang dari Mesir, dan sekarang bangsa itu berada di merata-rata tempat. Raja Balak meminta aku mengutuk umat itu baginya, supaya Raja Balak dapat melawan dan mengusir mereka dari tanahnya.”

12. Allah berfirman kepada Bileam, “Jangan pergi bersama-sama mereka dan jangan kutuk umat Israel, kerana Aku sudah memberkati mereka.”

13. Keesokan paginya, Bileam bertemu dengan para utusan Raja Balak dan berkata, “Pulanglah, TUHAN tidak membenarkan saya pergi bersama-sama kamu.”

14. Oleh itu mereka kembali kepada Raja Balak dan memberitahunya bahawa Bileam tidak mahu datang bersama-sama mereka.

15. Kemudian Raja Balak mengutus lebih banyak lagi pemimpin yang berpangkat lebih tinggi daripada yang diutus mula-mula.

16. Mereka pergi kepada Bileam dan menyampaikan pesan Raja Balak ini kepadanya, “Beta mohon, datanglah dan jangan tolak jemputan beta.

17. Beta akan memberikan upah yang banyak sekali dan mengabulkan apa sahaja yang kamu minta. Datanglah dan kutuklah umat itu bagi beta.”

18. Tetapi Bileam menjawab, “Walaupun Raja Balak memberi saya segala perak dan emas di istananya, saya tidak dapat membantah perintah TUHAN, Allah yang saya sembah, bahkan dalam hal yang terkecil sekalipun.

19. Tetapi baiklah kamu bermalam di sini, seperti yang dilakukan oleh para utusan dahulu. Saya ingin tahu sama ada TUHAN masih ada pesan yang hendak difirmankan-Nya kepada saya.”

20. Pada malam itu Allah berfirman kepada Bileam, “Semua orang itu sudah datang untuk meminta engkau pergi dengan mereka. Oleh itu bersiap-siaplah untuk pergi, tetapi hanya lakukan apa yang Aku firmankan kepadamu.”

Bilangan 22