Bilangan 22:13-31 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

2-3. Apabila raja Moab yang bernama Raja Balak anak Zipor, mendengar hal yang dilakukan umat Israel terhadap orang Amori, dan betapa besarnya bilangan umat Israel itu, raja dan rakyatnya menjadi takut.

13. Keesokan paginya, Bileam bertemu dengan para utusan Raja Balak dan berkata, “Pulanglah, TUHAN tidak membenarkan saya pergi bersama-sama kamu.”

14. Oleh itu mereka kembali kepada Raja Balak dan memberitahunya bahawa Bileam tidak mahu datang bersama-sama mereka.

15. Kemudian Raja Balak mengutus lebih banyak lagi pemimpin yang berpangkat lebih tinggi daripada yang diutus mula-mula.

16. Mereka pergi kepada Bileam dan menyampaikan pesan Raja Balak ini kepadanya, “Beta mohon, datanglah dan jangan tolak jemputan beta.

17. Beta akan memberikan upah yang banyak sekali dan mengabulkan apa sahaja yang kamu minta. Datanglah dan kutuklah umat itu bagi beta.”

18. Tetapi Bileam menjawab, “Walaupun Raja Balak memberi saya segala perak dan emas di istananya, saya tidak dapat membantah perintah TUHAN, Allah yang saya sembah, bahkan dalam hal yang terkecil sekalipun.

19. Tetapi baiklah kamu bermalam di sini, seperti yang dilakukan oleh para utusan dahulu. Saya ingin tahu sama ada TUHAN masih ada pesan yang hendak difirmankan-Nya kepada saya.”

20. Pada malam itu Allah berfirman kepada Bileam, “Semua orang itu sudah datang untuk meminta engkau pergi dengan mereka. Oleh itu bersiap-siaplah untuk pergi, tetapi hanya lakukan apa yang Aku firmankan kepadamu.”

21. Keesokan paginya Bileam memasang pelana pada keldainya, lalu pergi bersama-sama para pemimpin Moab itu.

22. Allah murka kerana Bileam berangkat. Sementara Bileam menunggang keldainya, diiringi oleh dua orang hambanya, malaikat TUHAN berdiri di tengah jalan untuk menghalangi dia.

23. Apabila keldai itu nampak malaikat TUHAN berdiri di situ sambil memegang sebilah pedang, keldai itu menyimpang ke ladang. Bileam memukul keldainya dan menuntunnya kembali ke jalan.

24. Kemudian malaikat TUHAN berdiri di bahagian jalan yang sempit, di antara dua kebun anggur dengan tembok batu di sebelah-menyebelah.

25. Apabila keldai itu nampak malaikat di situ, keldai itu minggir sehingga kaki Bileam terjepit ke tembok. Sekali lagi Bileam memukul keldainya.

26. Malaikat TUHAN maju lagi dan berdiri di tempat yang lebih sempit, sehingga tidak ada jalan untuk menyimpang ke kanan atau ke kiri.

27. Kali ini, ketika keldai itu nampak malaikat TUHAN, keldai itu merebahkan badan. Bileam naik marah lalu memukul keldai itu dengan tongkatnya.

28. Kemudian TUHAN membolehkan keldai itu bercakap, lalu keldai itu berkata kepada Bileam, “Apakah kesalahan saya? Mengapakah tuan memukul saya sampai tiga kali?”

29. Bileam menjawab, “Oleh sebab engkau mempermainkan aku! Jika aku mempunyai sebilah pedang, sudah pasti aku membunuh engkau.”

30. Keldai itu menjawab, “Bukankah tuan menunggangi saya seumur hidup tuan? Pernahkah saya memperlakukan tuan begini?”“Tidak,” jawab Bileam.

31. Kemudian TUHAN membolehkan Bileam melihat malaikat TUHAN yang berdiri di situ dengan pedang terhunus, lalu Bileam sujud menyembah.

Bilangan 22