Bilangan 21:23-35 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

23. Tetapi Raja Sihon tidak membenarkan umat Israel melintasi tanah baginda. Raja Sihon mengumpulkan tenteranya lalu pergi ke Yahas untuk menyerang umat Israel di kawasan gurun itu.

24. Tetapi dalam pertempuran itu umat Israel membunuh banyak askar Amori. Oleh itu umat Israel menduduki negeri mereka, dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok di utara, iaitu sempadan kawasan orang Amon, kerana pertahanan di sempadan Amon sangat kuat.

25. Demikianlah umat Israel merebut semua kota orang Amori, termasuk Hesybon dan semua pekan di sekelilingnya, lalu mereka menetap di situ.

26. Hesybon ialah ibu kota Raja Sihon, penguasa negeri Amori. Dia pernah mengalahkan raja Moab dan menduduki seluruh tanahnya sampai ke Sungai Arnon.

27. Itulah sebabnya para pujangga bersyair begini,“Datanglah ke Hesybon, ke kota Raja Sihon.Kami ingin melihat kota ini dibangun dan dipulihkan.

28. Sekali peristiwa di kota ini,tentera Raja Sihon mara bagaikan api yang menghancurkan kota Ar di Moab, dan menelan bukit-bukit di sepanjang Arnon.

29. Hai orang Moab, alangkah malangnya kamu!Hai pemuja Kamos, binasalah kamu!Tuhan kamu membiarkan kaum lelaki menjadi pelarian,dan kaum wanita menjadi tawanan raja Amori.

30. Tetapi kini keturunan mereka binasa,di sepanjang jalan dari Hesybon ke Dibon,dari Nasyim ke Nofah dekat Medeba.”

31. Dengan demikian umat Israel menetap di tanah orang Amori.

32. Musa mengutus orang mencari jalan yang terbaik untuk menyerang kota Yaezer. Umat Israel merebut kota itu serta pekan-pekan di sekelilingnya, dan mengusir orang Amori yang tinggal di situ.

33. Kemudian umat Israel membelok lalu mengikut jalan ke Basan. Tetapi Raja Og dari Basan, berangkat dengan tenteranya dan menyerang mereka di Edrei.

34. TUHAN berfirman kepada Musa, “Jangan takut kepadanya. Aku akan memberikan kemenangan kepadamu. Engkau akan mengalahkan raja itu, segenap rakyatnya, dan merebut tanah serta negerinya. Perlakukanlah raja itu sebagaimana engkau memperlakukan Raja Sihon, raja Amori yang memerintah di Hesybon.”

35. Oleh itu umat Israel membunuh Raja Og, putera-puteranya, dan semua rakyatnya. Mereka tidak membiarkan seorang pun hidup. Kemudian mereka menduduki tanah itu.

Bilangan 21