20. dan dari Bamot ke lembah di tanah Moab, di bawah puncak Gunung Pisga yang menghala ke kawasan gurun.
21. Kemudian umat Israel mengutus utusan-utusan kepada Raja Sihon, penguasa orang Amori. Para utusan itu berkata,
22. “Benarkanlah hamba semua melalui negeri tuanku. Hamba sekalian dan ternakan hamba semua tidak akan menyimpang ke ladang atau ke kebun anggur tuanku. Hamba sekalian tidak akan minum air dari perigi tuanku. Hamba semua akan mengikut jalan raya sehingga hamba sekalian keluar dari tanah tuanku.”
23. Tetapi Raja Sihon tidak membenarkan umat Israel melintasi tanah baginda. Raja Sihon mengumpulkan tenteranya lalu pergi ke Yahas untuk menyerang umat Israel di kawasan gurun itu.
24. Tetapi dalam pertempuran itu umat Israel membunuh banyak askar Amori. Oleh itu umat Israel menduduki negeri mereka, dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok di utara, iaitu sempadan kawasan orang Amon, kerana pertahanan di sempadan Amon sangat kuat.
25. Demikianlah umat Israel merebut semua kota orang Amori, termasuk Hesybon dan semua pekan di sekelilingnya, lalu mereka menetap di situ.
26. Hesybon ialah ibu kota Raja Sihon, penguasa negeri Amori. Dia pernah mengalahkan raja Moab dan menduduki seluruh tanahnya sampai ke Sungai Arnon.
27. Itulah sebabnya para pujangga bersyair begini,“Datanglah ke Hesybon, ke kota Raja Sihon.Kami ingin melihat kota ini dibangun dan dipulihkan.
28. Sekali peristiwa di kota ini,tentera Raja Sihon mara bagaikan api yang menghancurkan kota Ar di Moab, dan menelan bukit-bukit di sepanjang Arnon.
29. Hai orang Moab, alangkah malangnya kamu!Hai pemuja Kamos, binasalah kamu!Tuhan kamu membiarkan kaum lelaki menjadi pelarian,dan kaum wanita menjadi tawanan raja Amori.
30. Tetapi kini keturunan mereka binasa,di sepanjang jalan dari Hesybon ke Dibon,dari Nasyim ke Nofah dekat Medeba.”
31. Dengan demikian umat Israel menetap di tanah orang Amori.
32. Musa mengutus orang mencari jalan yang terbaik untuk menyerang kota Yaezer. Umat Israel merebut kota itu serta pekan-pekan di sekelilingnya, dan mengusir orang Amori yang tinggal di situ.