1. TUHAN berfirman kepada Musa,
2. “Suruhlah umat Israel memberi engkau dua belas batang tongkat; tongkat itu harus diserahkan oleh setiap pemimpin suku. Tulislah nama setiap pemimpin pada tongkatnya,
3. lalu tulislah nama Harun pada tongkat yang mewakili suku Lewi. Tiap-tiap pemimpin suku harus ada sebatang tongkat.
4. Bawalah tongkat-tongkat itu ke dalam Khemah-Ku, dan letakkan semuanya di depan Tabut Perjanjian, tempat Aku bertemu dengan engkau.
5. Tongkat orang yang Kupilih akan bertunas. Dengan demikian Aku akan menghentikan sungutan orang Israel yang tidak putus-putus terhadap engkau.”
6. Oleh itu Musa memberitahu umat Israel tentang perkara itu. Kemudian tiap-tiap pemimpin mereka memberikan sebatang tongkat kepada Musa, iaitu satu batang daripada tiap-tiap suku. Kesemuanya dua belas batang, termasuk tongkat Harun.