25. Kemudian Musa, disertai oleh para pemimpin Israel, pergi ke tempat Datan dan Abiram.
26. Musa berkata kepada semua orang Israel di situ, “Jauhilah khemah semua orang yang jahat ini dan jangan sentuh apa-apa pun milik mereka. Jika kamu tidak menurut, kamu akan dibinasakan bersama-sama mereka kerana semua dosa mereka.”
27. Maka mereka menjauhkan diri dari khemah Korah, Datan, dan Abiram.Datan dan Abiram sudah keluar dari khemah dan sedang berdiri di pintu khemah bersama-sama anak isteri mereka.
28. Musa berkata kepada semua orang di situ, “Inilah caranya kamu tahu bahawa TUHAN yang menyuruh aku melakukan segala perkara ini, dan bahawa aku tidak melakukannya menurut kehendakku sendiri.
29. Jika semua orang itu mati dengan cara biasa tanpa hukuman apa-apa daripada Allah, itulah tandanya TUHAN tidak mengutus aku.
30. Tetapi jika TUHAN melakukan sesuatu yang belum pernah terjadi, dan bumi terbelah lalu menelan mereka dengan segala milik mereka, sehingga mereka hidup-hidup masuk ke dunia orang mati, maka tahulah kamu bahawa semua orang itu melawan TUHAN.”
31. Sebaik sahaja Musa berkata demikian, tanah di bawah kaki Datan dan Abiram terbelah,
32. lalu bumi menelan mereka serta keluarga mereka, bersama-sama semua pengikut Korah dan milik mereka.
33. Oleh itu mereka terjatuh hidup-hidup ke dalam dunia orang mati bersama dengan semua milik mereka. Tanah yang terbelah itu tertutup semula dan mereka lenyap ditelan bumi.
34. Semua orang Israel yang berada di situ lari apabila mendengar teriakan mereka. Lalu semua orang Israel itu berteriak, “Lari! Nanti kita juga ditelan bumi!”
35. Selepas itu TUHAN mendatangkan api yang bernyala-nyala dan membakar 250 orang yang sudah mempersembahkan kemenyan.
36. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa,
37. “Suruhlah Eleazar, anak Imam Harun, mengambil semua perbaraan gangsa itu dari sisa kebakaran lalu menghamburkan arangnya di tempat lain, kerana perbaraan itu suci.
38. Perbaraan itu suci kerana sudah dipersembahkan di mazbah TUHAN. Oleh itu ambillah perbaraan semua orang yang dihukum mati kerana dosa mereka, lalu tempalah perbaraan itu menjadi kepingan-kepingan tipis untuk dijadikan penutup mazbah. Penutup itu akan menjadi satu amaran kepada umat Israel.”
39. Kemudian Imam Eleazar mengambil semua perbaraan itu, lalu menyuruh orang menempanya menjadi kepingan-kepingan tipis untuk dijadikan penutup mazbah.
40. Penutup itu menjadi amaran kepada umat Israel bahawa tiada sesiapa pun kecuali keturunan Harun boleh menghampiri mazbah untuk membakar kemenyan bagi TUHAN. Orang yang melanggar peraturan itu akan dibinasakan seperti Korah dan semua pengikutnya. Semuanya dilakukan menurut perintah TUHAN kepada Eleazar dengan perantaraan Musa.
41. Keesokan harinya, semua orang Israel bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun. Mereka berkata, “Kamu sudah membunuh sebahagian umat TUHAN.”