Bilangan 16:1-2-15 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1-2. Korah anak Yizhar, daripada puak Kehat suku Lewi, memberontak terhadap Musa. Korah disokong oleh tiga orang daripada suku Ruben, iaitu Datan dan Abiram, kedua-duanya anak Eliab, dan juga On anak Pelet, serta 250 orang pemimpin kenamaan yang dipilih oleh umat Israel.

3. Mereka bersama-sama menghadap Musa dan Harun, lalu berkata, “Kamu sudah keterlaluan! Semua orang Israel milik TUHAN, dan TUHAN menyertai kita semua. Tetapi hai Musa, mengapakah engkau menganggap dirimu lebih tinggi daripada umat TUHAN?”

4. Ketika Musa mendengar kata-kata itu, dia bersujud di tanah dan berdoa kepada TUHAN.

5. Kemudian Musa berkata kepada Korah dan pengikut-pengikutnya, “Esok pagi, TUHAN akan menunjukkan siapa milik-Nya, iaitu orang yang dikhaskan bagi-Nya; orang yang dipilih-Nya akan diizinkan-Nya untuk menghampiri Dia di mazbah.

8. Musa berkata lagi kepada Korah, “Dengarlah, hai orang Lewi!

9. Adakah kamu menganggap hal ini perkara kecil apabila Allah Israel mengasingkan kamu daripada orang Israel lain, supaya kamu dapat menghampiri Dia dan bertugas di Khemah-Nya, serta bekerja untuk umat Israel dan melayani mereka?

10. TUHAN sudah memberi engkau dan semua orang Lewi kehormatan itu, tetapi sekarang engkau menuntut menjadi imam pula!

11. Ketika engkau dan pengikutmu bersungut-sungut terhadap Harun, sebenarnya kamu melawan TUHAN.”

12. Selepas itu Musa menyuruh orang memanggil Datan dan Abiram, tetapi Datan dan Abiram tidak mahu datang. Mereka berkata,

13. “Belum cukupkah engkau membawa kami keluar dari Mesir, tanah yang subur itu, untuk membunuh kami di padang gurun ini? Haruskah engkau memerintah kami juga?

14. Sudah nyata bahawa engkau tidak membawa kami ke tanah yang subur, ataupun memberi kami ladang dan kebun anggur sebagai milik kami. Sekarang engkau hendak menipu kami pula. Kami tidak mahu datang!”

15. Musa sangat marah lalu berkata kepada TUHAN, “Janganlah terima apa-apa persembahan daripada mereka. Aku tidak pernah berbuat salah terhadap mereka; bahkan seekor keldai pun tidak pernah aku ambil daripada mereka.”

Bilangan 16