17. Kamu semua harus membawa perbaraan masing-masing. Letaklah kemenyan di dalam perbaraan, lalu persembahkanlah itu kepada TUHAN.”
18. Maka tiap-tiap orang membawa perbaraan, mengisinya dengan bara api dan kemenyan, lalu berdiri di pintu Khemah TUHAN bersama-sama Musa dan Harun.
19. Kemudian Korah mengumpulkan segenap umat, lalu mereka berdiri menghadap Musa dan Harun di pintu Khemah TUHAN. Tiba-tiba cahaya hadirat TUHAN kelihatan kepada segenap umat.
20. TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun,
21. “Undurlah daripada semua orang itu; Aku mahu membinasakan mereka sekarang juga.”
22. Tetapi Musa dan Harun bersujud dan berkata, “Ya Allah, Engkaulah sumber kehidupan bagi semua yang hidup. Jika hanya seorang yang berdosa, adakah Engkau murka terhadap segenap umat?”
23. TUHAN berfirman kepada Musa,
24. “Suruhlah semua orang itu menjauhi khemah Korah, Datan, dan Abiram.”
25. Kemudian Musa, disertai oleh para pemimpin Israel, pergi ke tempat Datan dan Abiram.
26. Musa berkata kepada semua orang Israel di situ, “Jauhilah khemah semua orang yang jahat ini dan jangan sentuh apa-apa pun milik mereka. Jika kamu tidak menurut, kamu akan dibinasakan bersama-sama mereka kerana semua dosa mereka.”
27. Maka mereka menjauhkan diri dari khemah Korah, Datan, dan Abiram.Datan dan Abiram sudah keluar dari khemah dan sedang berdiri di pintu khemah bersama-sama anak isteri mereka.
28. Musa berkata kepada semua orang di situ, “Inilah caranya kamu tahu bahawa TUHAN yang menyuruh aku melakukan segala perkara ini, dan bahawa aku tidak melakukannya menurut kehendakku sendiri.
29. Jika semua orang itu mati dengan cara biasa tanpa hukuman apa-apa daripada Allah, itulah tandanya TUHAN tidak mengutus aku.
30. Tetapi jika TUHAN melakukan sesuatu yang belum pernah terjadi, dan bumi terbelah lalu menelan mereka dengan segala milik mereka, sehingga mereka hidup-hidup masuk ke dunia orang mati, maka tahulah kamu bahawa semua orang itu melawan TUHAN.”
31. Sebaik sahaja Musa berkata demikian, tanah di bawah kaki Datan dan Abiram terbelah,
32. lalu bumi menelan mereka serta keluarga mereka, bersama-sama semua pengikut Korah dan milik mereka.
33. Oleh itu mereka terjatuh hidup-hidup ke dalam dunia orang mati bersama dengan semua milik mereka. Tanah yang terbelah itu tertutup semula dan mereka lenyap ditelan bumi.