10. Musa mendengar semua orang itu bersungut, ketika mereka berdiri berkelompok-kelompok di depan pintu khemah mereka. Musa gelisah kerana TUHAN murka terhadap mereka.
11. Musa berkata kepada TUHAN, “Mengapakah Engkau tidak memperlakukan aku dengan baik? Mengapakah Engkau tidak suka kepadaku? Mengapakah Engkau menyerahkan tanggungjawab atas semua orang ini kepadaku?
12. Mereka tidak kukandung dan tidak kulahirkan. Mengapakah Engkau menyuruh aku mengasuh dan mendukung mereka seperti bayi, sepanjang perjalanan ke tanah yang Engkau janjikan kepada nenek moyang mereka?
13. Di manakah harus aku cari daging yang cukup untuk semua orang itu? Lihatlah, mereka terus-menerus merungut dan meminta daging.
14. Aku tidak sanggup memikul tanggungjawab atas semua orang itu; tanggungjawab ini terlalu berat bagiku!
15. Jika Engkau memperlakukan aku begini, kasihanilah aku; bunuhlah aku dengan segera supaya aku tidak lagi menanggung penderitaan ini.”
16. TUHAN berfirman kepada Musa, “Kumpulkanlah tujuh puluh orang lelaki yang dihormati dan yang diakui sebagai pemimpin orang Israel. Bawalah mereka menghadap Aku di Khemah-Ku, dan suruhlah mereka berdiri di situ, di sampingmu.
17. Aku akan turun dan berfirman kepadamu di tempat itu, dan mereka akan Kuberikan sebahagian daripada kuasa yang sudah Kuberikan kepadamu. Dengan demikian, mereka akan dapat membantu engkau memikul tanggungjawab atas umat ini, dan engkau tidak lagi memikulnya sendirian.
18. Sekarang beritahulah orang Israel, ‘Sucikanlah diri kamu untuk esok, kerana kamu akan makan daging. TUHAN sudah mendengar kamu merungut dan berkata bahawa kamu ingin sekali makan daging, dan bahawa keadaan kamu lebih baik semasa di negeri Mesir. Sekarang TUHAN akan memberi kamu daging dan kamu mesti makan daging itu.
19. Kamu mesti memakannya bukan sahaja selama satu atau dua hari, atau lima, atau sepuluh, ataupun dua puluh hari,
20. tetapi selama satu bulan, sehingga kamu menjadi sakit dan muntah-muntah kerana daging itu. Hal itu akan terjadi kerana kamu menolak TUHAN yang ada di tengah-tengah kamu. Kamu juga bersungut kepada-Nya dengan berkata bahawa kamu tidak seharusnya meninggalkan Mesir.’ ”
21. Musa berkata kepada TUHAN, “Sekarang aku sedang memimpin 600,000 orang. Bagaimanakah Engkau dapat berfirman bahawa Engkau akan memberi mereka daging yang cukup selama satu bulan?
22. Cukupkah lembu dan domba untuk disembelih bagi mengenyangkan mereka? Cukupkah semua ikan di laut untuk mereka?”
23. TUHAN berfirman, “Adakah kuasa-Ku terbatas? Engkau akan segera melihat sama ada firman-Ku itu berlaku atau tidak!”
24. Oleh itu Musa keluar dan memberitahu umat Israel apa yang difirmankan TUHAN. Musa mengumpulkan tujuh puluh orang pemimpin dan menyuruh mereka berdiri di sekeliling Khemah TUHAN.
25. Kemudian TUHAN turun di dalam awan dan berfirman kepada Musa. TUHAN mengambil sebahagian daripada kuasa yang sudah diberikan-Nya kepada Musa, lalu memberikan kuasa itu kepada tujuh puluh orang pemimpin itu. Ketika Roh TUHAN turun ke atas mereka, mereka mula berseru seperti nabi, tetapi tidak lama.