22. Aku yakin Allah yang kekal segera akan membebaskan kamu. Yang Suci iaitu Penyelamat yang kekal akan menggembirakan aku apabila Dia menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu.
23. Ketika kamu dibawa pergi, aku bersedih dan menangis. Tetapi Allah akan membawa kamu pulang kepadaku dan menggembirakan aku untuk selama-lamanya.
24. Seperti mana jiran-jiran telah melihat kamu ditawan, begitu juga mereka segera akan melihat kamu diselamatkan oleh Allah yang kekal, yang datang kepada kamu dengan keagungan dan semarak yang besar.
25. Hai anak-anakku, hendaklah kamu sabar menanggung hukuman Allah. Sekarang kamu dikejar-kejar musuh, tetapi kamu segera akan melihat mereka dibinasakan dan takluk kepada kamu.
26. Anak-anakku yang tersayang, kamu harus menempuh jalan yang tidak rata dan digiring pergi seperti kawanan domba yang dirampas musuh.
27. Kuatkanlah hati kamu, hai anak-anakku, berserulah kepada Allah. Dia yang mengirimkan bencana itu akan ingat lagi kepada kamu.
28. Seperti kamu bertekad meninggalkan Allah dahulu, begitu hendaknya kamu sekarang kembali mengabdi kepada-Nya dengan sepuluh kali lebih rajin.
29. Dia yang mengirim segala bencana itu kepada kamu akan menyelamatkan kamu dan memberi kamu kebahagiaan yang kekal.”
30. Kuatkanlah hatimu, hai Yerusalem! Dia yang telah memberi nama kepadamu akan menghibur engkau.
31. Malanglah mereka yang telah menganiaya engkau dan bersukaria kerana kehancuranmu.
32. Malanglah kota-kota yang memperhamba anak-anakmu. Malanglah kota Babel tempat anak-anakmu ditawan.
33. Seperti mana kota itu bersukaria kerana kehancuranmu, begitu pula kota itu akan berdukacita kerana kehancurannya sendiri.
34. Aku akan merampas rakyat kebanggaannya yang banyak jumlahnya, dan mengubah bualannya yang bongkak menjadi ratapan.
35. Aku, Allah yang kekal akan mendatangkan api ke atasnya, api yang menyala berhari-hari lamanya. Reruntuhannya akan didiami syaitan untuk masa yang lama.
36. Tengoklah ke timur, hai Yerusalem, dan lihatlah kegembiraan yang didatangkan Allah bagimu.
37. Lihatlah anak-anakmu datang kepadamu, anak-anak yang sudah kaubiarkan pergi. Mereka telah dikumpulkan dari timur dan dari barat atas perintah Allah yang suci. Sekarang mereka pulang sambil bersukaria kerana keagungan Allah.