Barukh 4:21-32 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

21. Kuatkanlah hatimu, hai anak-anakku, berserulah kepada Allah. Dia pasti akan menyelamatkan kamu daripada kekuasaan dan penindasan musuh.

22. Aku yakin Allah yang kekal segera akan membebaskan kamu. Yang Suci iaitu Penyelamat yang kekal akan menggembirakan aku apabila Dia menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu.

23. Ketika kamu dibawa pergi, aku bersedih dan menangis. Tetapi Allah akan membawa kamu pulang kepadaku dan menggembirakan aku untuk selama-lamanya.

24. Seperti mana jiran-jiran telah melihat kamu ditawan, begitu juga mereka segera akan melihat kamu diselamatkan oleh Allah yang kekal, yang datang kepada kamu dengan keagungan dan semarak yang besar.

25. Hai anak-anakku, hendaklah kamu sabar menanggung hukuman Allah. Sekarang kamu dikejar-kejar musuh, tetapi kamu segera akan melihat mereka dibinasakan dan takluk kepada kamu.

26. Anak-anakku yang tersayang, kamu harus menempuh jalan yang tidak rata dan digiring pergi seperti kawanan domba yang dirampas musuh.

27. Kuatkanlah hati kamu, hai anak-anakku, berserulah kepada Allah. Dia yang mengirimkan bencana itu akan ingat lagi kepada kamu.

28. Seperti kamu bertekad meninggalkan Allah dahulu, begitu hendaknya kamu sekarang kembali mengabdi kepada-Nya dengan sepuluh kali lebih rajin.

29. Dia yang mengirim segala bencana itu kepada kamu akan menyelamatkan kamu dan memberi kamu kebahagiaan yang kekal.”

30. Kuatkanlah hatimu, hai Yerusalem! Dia yang telah memberi nama kepadamu akan menghibur engkau.

31. Malanglah mereka yang telah menganiaya engkau dan bersukaria kerana kehancuranmu.

32. Malanglah kota-kota yang memperhamba anak-anakmu. Malanglah kota Babel tempat anak-anakmu ditawan.

Barukh 4