11. Mereka telah kuasuh dengan sukacita; sekarang aku berdukacita dan menangis melihat mereka dibawa pergi.
12. Janganlah sesiapa pun bergembira kerana aku; aku ini balu yang kehilangan banyak anak. Aku ditinggalkan seorang diri kerana anak-anakku telah berdosa, oleh sebab mereka meninggalkan Taurat Allah.
13. Mereka tidak mengendahkan peraturan-peraturan-Nya, tidak menjalankan perintah-perintah-Nya dan tidak mengikut jalan kebenaran yang dikehendaki Tuhan.
14. Marilah, hai jiran-jiranku, ingatlah akan anak-anakku yang tertawan, sebagaimana didatangkan Allah yang kekal kepada mereka.
15. Allah telah mengirim suatu bangsa dari jauh kepada mereka, bangsa biadab yang berbahasa asing. Mereka tidak menghormati orang tua dan tidak pula mengasihani kanak-kanak.
16. Bangsa itu telah membawa anak-anak kesayanganku pergi, dan aku, si balu, ditinggalkan sendirian.
17. Hai anak-anakku, aku tidak berdaya menolong kamu.
18. Hanya Dia yang mendatangkan bencana itu terhadap kamu, akan menyelamatkan kamu daripada musuh-musuh kamu.
19. Pergilah saja, hai anak-anakku, pergilah! Aku tertinggal sendirian dan kesepian.
20. Pakaian yang kukenakan pada masa damai sudah kulepaskan dan kuganti dengan kain guni tanda merendahkan diri. Selama hidupku aku akan menjerit meminta pertolongan Allah yang kekal.
21. Kuatkanlah hatimu, hai anak-anakku, berserulah kepada Allah. Dia pasti akan menyelamatkan kamu daripada kekuasaan dan penindasan musuh.
22. Aku yakin Allah yang kekal segera akan membebaskan kamu. Yang Suci iaitu Penyelamat yang kekal akan menggembirakan aku apabila Dia menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu.
23. Ketika kamu dibawa pergi, aku bersedih dan menangis. Tetapi Allah akan membawa kamu pulang kepadaku dan menggembirakan aku untuk selama-lamanya.