Barukh 3:26-37 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

26. Dahulu kala, di sana lahir raksasa-raksasa yang termasyhur; mereka gagah perkasa dan mahir dalam perang.

27. Tetapi bukan mereka yang dipilih Allah; bukan mereka yang diberi jalan pengetahuan.

28. Mereka telah jatuh binasa dan punah kerana tidak mempunyai kearifan dan pengertian.

29. Belum pernah ada yang naik ke syurga untuk mengambil kebijaksanaan dan menurunkannya dari awan-awan.

30. Belum pernah ada yang mengharungi lautan dan mendapat kebijaksanaan, atau membelinya dengan emas pilihan.

31. Tidak seorang pun tahu cara memperolehnya atau memperhatikan jalan yang menuju kepadanya.

32. Tetapi satu yang mengenal kebijaksanaan, hanya Allah Yang Maha Tahu, yang memperolehnya dengan pengertian-Nya. Dia mewujudkan bumi untuk selama-lamanya dan mengisinya dengan segala jenis binatang.

33. Dia memanggil cahaya, lalu cahaya datang dengan gementar. Dia mengutusnya, maka cahaya mendengarkan-Nya, lalu pergi.

34. Bintang-bintang bersinar-sinar dengan cemerlang, penuh gembira di tempat-tempatnya.

35. Apabila Tuhan memanggil, bintang-bintang segera menyahut-Nya; cahayanya gemerlapan, lalu diperkenankan Penciptanya.

36. Dialah Allah kita, dan tidak ada sesiapa pun seperti Dia.

37. Dialah yang menemukan segala jalan menuju pengetahuan dan mengurniakannya kepada Israel, hamba yang dikasihi-Nya.

Barukh 3