Barukh 3:2-22 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

2. Dengarlah ya Tuhan, dan kasihanilah kami, oleh sebab kami telah berdosa terhadap Engkau.

3. Engkau kekal memerintah sebagai raja, sedangkan kami mati dan lenyap untuk selama-lamanya.

4. Ya Tuhan Yang Maha Kuasa, Allah Israel, dengarlah doa kami yang sudah hampir mati. Nenek moyang kami telah berdosa terhadap Engkau, Tuhan, Allah mereka. Mereka tidak mahu taat kepada-Mu, oleh itu kami sekarang menanggung bencana-bencana.

5. Janganlah ingat akan kejahatan nenek moyang kami, tetapi pada masa seperti ini ingatlah sahaja akan kekuasaan dan kemasyhuran-Mu,

6. oleh sebab Engkaulah Tuhan, Allah kami, maka kami mahu memuji Engkau.

7. Engkau membuat kami takwa supaya kami berdoa kepada-Mu. Di negeri pembuangan ini kami akan memuji Engkau kerana kami telah menjauhkan diri daripada segala dosa nenek moyang kami.

8. Engkau telah membuang dan mencerai-beraikan kami di kalangan bangsa-bangsa asing, dan membuat kami dihina dan dikutuk oleh mereka. Itulah hukuman kami kerana dosa-dosa nenek moyang kami yang telah berpaling daripada-Mu, ya Tuhan, Allah kami.”

9. Hai Israel, dengarlah segala perintah yang memberi kehidupan, dan perhatikanlah semua itu supaya kamu menjadi arif.

10. Mengapa engkau di negeri musuh, hai Israel? Mengapa engkau menjadi tua di negeri asing?

11. Mengapa engkau menajiskan diri dengan yang mati, dan masuk golongan orang mati?

12. Hal itu demikian kerana engkau sudah meninggalkan sumber kebijaksanaan!

13. Sekiranya engkau mengikuti kehendak Allah, pastilah hidupmu sejahtera untuk selama-lamanya.

14. Belajarlah di mana ada kearifan, kekuatan, dan pengertian, maka engkau akan sekaligus tahu di mana terdapat umur panjang dan kebahagiaan, cahaya penerang hidup, dan damai sejahtera.

15. Siapakah yang telah menemukan tempat kebijaksanaan atau masuk ke dalam perbendaharaannya?

16. Di manakah para pemimpin bangsa-bangsa dan orang yang memburu binatang dan menangkap burung untuk hiburan?

17. Di manakah mereka yang menimbun emas dan perak, harta yang dipercayai oleh mereka? Di mana pula orang yang memilikinya dengan tidak terbatas?

18. Di manakah mereka yang dengan saksama mengerjakan perak dan karya mereka tidak dapat diselami?

19. Mereka semua sudah hilang dan turun ke dunia orang mati, dan orang lain muncul sebagai pengganti mereka.

20-21. Lalu lahirlah generasi baru yang mendiami bumi ini. Tetapi mereka tidak menemukan atau memahami jalan pengetahuan, dan anak cucu mereka tersesat lebih jauh lagi.

22. Kebijaksanaan tidak terdapat pada orang Kanaan dan tidak juga pada orang Edom.

Barukh 3