4. Tuhan mencerai-beraikan bangsa kami dan membiarkan kami dikuasai oleh bangsa-bangsa di sekeliling kami. Mereka menghina kami dan menjadikan negeri kami sunyi sepi.
5. Kami telah berdosa terhadap Tuhan, Allah kami dan tidak mahu taat kepada-Nya. Oleh itu bangsa kami tidak mendapat kemenangan, melainkan ditakluki.
6. Memang Tuhan, Allah kami adil, tetapi kami dan nenek moyang kami mendapat malu sehingga hari ini.
7. Tuhan telah menghukum kami sesuai dengan ancaman-Nya.
8. Walaupun begitu kami belum juga berbalik kepada Tuhan dan belum meninggalkan fikiran-fikiran kami yang jahat.
9. Tuhan adil dalam segala sesuatu yang diperintahkan-Nya kepada kami. Oleh itu Dia telah mendatangkan bencana-bencana yang disediakan-Nya bagi kami.
10. Walaupun begitu kami belum juga mendengar suara-Nya dan tidak hidup menurut perintah yang diberikan-Nya kepada kami.”
11. ‘Ya Tuhan, Engkau Allah Israel yang telah membawa umat-Mu keluar dari Mesir dengan tanda-tanda, mukjizat, dan kuasa yang besar, sehingga Engkau menjadi termasyhur sehingga hari ini.
12. Ya Tuhan, Allah kami, kami telah berdosa dan berbuat jahat. Kami tidak setia dan telah melanggar perintah-perintah-Mu.
13. Jangan murka lagi kepada kami, oleh sebab jumlah kami tinggal sedikit sahaja di kalangan bangsa-bangsa kerana Engkau mencerai-beraikan kami.
14. Dengarlah doa permohonan kami, ya Tuhan, dan bebaskanlah kami demi kehormatan-Mu sendiri. Bertindaklah supaya kami dikasihani oleh orang yang telah membuang kami.
15. Maka seluruh dunia akan tahu bahawa Engkau Tuhan, Allah kami, kerana Engkau telah memilih keturunan Yakub menjadi umat-Mu sendiri.
16. Ya Tuhan, pandanglah kami dari kediaman-Mu yang suci; ingatlah akan kami dan dengarlah doa kami.
17. Sudilah memandang dan memperhatikan kami, ya Tuhan. Orang yang sudah tidak bernyawa di dunia orang mati tidak dapat memuji Engkau sebagaimana mestinya.
18. Hanya orang hidup yang dapat memuji Engkau dengan semestinya, ya Tuhan, sekalipun mereka sangat sengsara, berjalan membongkok, tidak berdaya, pudar mata, dan lapar.
19. Ya Tuhan, Allah kami, kami memohon belas kasihan-Mu, tetapi bukan kerana jasa nenek moyang kami atau raja-raja kami.
20. Engkau menimpakan kemurkaan-Mu yang dahsyat terhadap kami seperti yang sudah Kaufirmankan dengan perantaraan hamba-hamba-Mu para nabi. Engkau telah berfirman,
21. ‘Kamu harus takluk dan berhamba kepada raja Babilonia, maka kamu boleh tinggal di negeri yang Kuberikan kepada nenek moyangmu.