19. Ya Tuhan, Allah kami, kami memohon belas kasihan-Mu, tetapi bukan kerana jasa nenek moyang kami atau raja-raja kami.
20. Engkau menimpakan kemurkaan-Mu yang dahsyat terhadap kami seperti yang sudah Kaufirmankan dengan perantaraan hamba-hamba-Mu para nabi. Engkau telah berfirman,
21. ‘Kamu harus takluk dan berhamba kepada raja Babilonia, maka kamu boleh tinggal di negeri yang Kuberikan kepada nenek moyangmu.
22. Tetapi kalau kamu tidak mahu mendengar perintah-Ku dan tidak mahu berhamba kepadanya,
23. Aku akan menghentikan setiap sorak gembira di kota-kota Yehuda dan di Yerusalem. Tidak akan terdengar lagi lagu-lagu gembira pada pesta perkahwinan. Seluruh negeri akan sunyi sepi tanpa penghuni.’
24. Tetapi kami tidak juga mendengarkan perintah-Mu untuk mengabdi kepada raja Babilonia. Oleh itu kami dihukum sesuai dengan ancaman yang Kauperintahkan dengan perantaraan hamba-Mu para nabi. Engkau telah berfirman bahawa tulang-tulang para raja dan nenek moyang kami akan dilemparkan dari kubur mereka.
25. Sesungguhnya, semua itu sudah terserak sehingga kena panas pada waktu siang dan kena dingin pada waktu malam. Mereka telah mati sengsara kerana kelaparan, peperangan, dan wabak.
26. Oleh sebab kejahatan orang Israel dan orang Yehuda, Rumah-Mu sendiri Kaujadikan reruntuhan sehingga hari ini.
27. Walaupun begitu, Engkau telah memperlakukan kami dengan lemah lembut sesuai dengan belas kasihan-Mu yang besar, ya Tuhan, Allah kami,
28. seperti yang Kaujanjikan melalui Musa hamba-Mu, ketika Engkau menyuruh dia menuliskan Taurat-Mu di hadapan orang Israel.
29. Engkau berfirman, ‘Jika kamu tidak taat kepada-Ku, jumlahmu yang sangat besar ini akan berkurang menjadi sedikit sahaja di kalangan bangsa-bangsa di tempat Aku mencerai-beraikan kamu.
30. Aku tahu bahawa kamu tidak mahu taat kepada-Ku, oleh sebab kamu bangsa yang keras kepala. Tetapi di negeri pembuangan, kamu akan insaf
31. dan menyedari bahawa Aku ini Tuhan, Allahmu. Kamu akan Kuberi hati yang taat dan suka mendengarkan Aku.