1. Oleh itu Tuhan telah melaksanakan ancaman-Nya terhadap kami dan terhadap hakim-hakim kami, raja-raja, dan para pemimpin kami dan terhadap orang Israel dan Yehuda.
2. Di seluruh bumi belum pernah berlaku apa yang terjadi di Yerusalem, pada waktu Tuhan menghukum kami sesuai dengan apa yang tertulis dalam Taurat Musa,
3. sehingga makan daging anak-anak kami sendiri.
4. Tuhan mencerai-beraikan bangsa kami dan membiarkan kami dikuasai oleh bangsa-bangsa di sekeliling kami. Mereka menghina kami dan menjadikan negeri kami sunyi sepi.
5. Kami telah berdosa terhadap Tuhan, Allah kami dan tidak mahu taat kepada-Nya. Oleh itu bangsa kami tidak mendapat kemenangan, melainkan ditakluki.
6. Memang Tuhan, Allah kami adil, tetapi kami dan nenek moyang kami mendapat malu sehingga hari ini.
7. Tuhan telah menghukum kami sesuai dengan ancaman-Nya.
8. Walaupun begitu kami belum juga berbalik kepada Tuhan dan belum meninggalkan fikiran-fikiran kami yang jahat.
9. Tuhan adil dalam segala sesuatu yang diperintahkan-Nya kepada kami. Oleh itu Dia telah mendatangkan bencana-bencana yang disediakan-Nya bagi kami.
10. Walaupun begitu kami belum juga mendengar suara-Nya dan tidak hidup menurut perintah yang diberikan-Nya kepada kami.”
11. ‘Ya Tuhan, Engkau Allah Israel yang telah membawa umat-Mu keluar dari Mesir dengan tanda-tanda, mukjizat, dan kuasa yang besar, sehingga Engkau menjadi termasyhur sehingga hari ini.
12. Ya Tuhan, Allah kami, kami telah berdosa dan berbuat jahat. Kami tidak setia dan telah melanggar perintah-perintah-Mu.
13. Jangan murka lagi kepada kami, oleh sebab jumlah kami tinggal sedikit sahaja di kalangan bangsa-bangsa kerana Engkau mencerai-beraikan kami.
14. Dengarlah doa permohonan kami, ya Tuhan, dan bebaskanlah kami demi kehormatan-Mu sendiri. Bertindaklah supaya kami dikasihani oleh orang yang telah membuang kami.
15. Maka seluruh dunia akan tahu bahawa Engkau Tuhan, Allah kami, kerana Engkau telah memilih keturunan Yakub menjadi umat-Mu sendiri.