Barukh 1:1-18 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Inilah kitab yang ditulis oleh Barukh anak Neria cucu Mahseya, keturunan Zedekia, Asadia, dan Hilkia. Kitab ini ditulisnya di Babel,

2. pada tarikh tujuh bulan itu dalam tahun kelima setelah orang Babilonia menawan dan membakar kota Yerusalem.

5. Sesudah kitab itu dibacakan, mereka menangis, berpuasa, dan berdoa kepada Tuhan.

6. Lalu masing-masing memberi sumbangan menurut kemampuannya,

7. dan wang sumbangan itu dikirim ke Yerusalem kepada Imam Agung Yoyakim anak Hilkia, cucu Syalom dan kepada imam-imam lain serta semua orang yang bersama dengan Imam Agung di Yerusalem.

8. Pada tarikh sepuluh bulan Siwan, Barukh mengambil perkakas yang telah dirompak dari Rumah Tuhan, lalu mengembalikannya ke negeri Yehuda. Itulah perkakas perak yang dibuat oleh Zedekia, putera Raja Yosia dari Yehuda,

9. setelah Yekhonya, para pemimpin, tukang-tukang, orang terkemuka masyarakat serta rakyat biasa diangkut dari Yerusalem ke pembuangan di Babel atas perintah Nebukadnezar, raja Babilonia.

10. Inilah surat orang Yahudi di Babel kepada Imam Agung dan umat di Yerusalem.“Sudilah menggunakan wang yang kami kirim ini untuk membeli ternakan bagi korban untuk menyenangkan hati Tuhan serta korban untuk mengampunkan dosa dan untuk membeli kemenyan serta gandum bagi korban untuk mengucap syukur kepada Tuhan. Tolong persembahkan korban-korban itu di atas mazbah Tuhan, Allah kita.

11. Sudilah juga mendoakan Raja Nebukadnezar, raja Babilonia dan Beltsazar puteranya. Semoga baginda berdua hidup sejahtera selama-lamanya.

12. Semoga Tuhan menguatkan dan membimbing kami supaya dapat hidup dalam perlindungan Raja Nebukadnezar, raja Babilonia, serta Beltsazar puteranya, dan setia kepada mereka seumur hidup kami, sehingga kami diperkenankan oleh baginda berdua.

13. Saudara sekalian, doakanlah kami kepada Tuhan Allah oleh sebab kami telah berdosa terhadap Dia, dan sehingga sekarang kemurkaan-Nya yang dahsyat masih menimpa kami.

14. Sudilah membacakan kitab yang kami kirim ini di hadapan umat di dalam Rumah Tuhan pada Perayaan Pondok Daun dan pada hari-hari ibadat.”

15. Hendaklah saudara membuat pengakuan begini, ‘Tuhan, Allah kita adil, tetapi kami masih diliputi rasa malu. Kami semua, orang Yehuda, penduduk Yerusalem,

16. raja-raja kami, para pemimpin, para imam, para nabi, dan nenek moyang kami dipermalukan,

17. kerana kami telah berdosa terhadap Tuhan, Allah kami

18. dan tidak taat kepada-Nya. Kami tidak mendengar-Nya dan tidak hidup menurut perintah-perintah-Nya.

Barukh 1