Ayub 1:5-17 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

5. Selepas setiap jamuan, pada esok paginya, Ayub akan bangun pagi-pagi dan mempersembahkan korban bagi setiap anaknya untuk menyucikan mereka. Dia sentiasa berbuat demikian kerana pada fikirannya, mungkin salah seorang anaknya telah berdosa dan menghina Allah dengan tidak sengaja.

6. Pada suatu hari makhluk-makhluk syurga menghadap TUHAN, dan Si Penggoda juga hadir bersama-sama mereka.

7. TUHAN bertanya kepada Si Penggoda, “Dari mana engkau?”Si Penggoda menjawab, “Aku telah mengembara ke sana sini dan menjelajahi seluruh bumi.”

8. TUHAN berfirman, “Adakah engkau perhatikan Ayub, orang yang mengabdi kepada-Ku? Di seluruh bumi tiada orang yang begitu setia dan baik seperti dia. Dia beribadat kepada-Ku dan sungguh berhati-hati supaya tidak berbuat jahat.”

9. Tetapi Si Penggoda menjawab, “Mahukah Ayub beribadat kepada-Mu jika dia tidak mendapat apa-apa ganjaran?

10. Engkau selalu melindungi dia serta keluarganya dan segala miliknya. Engkau menjayakan segala usahanya, dan Engkau memberi dia banyak ternakan sehingga memenuhi seluruh negeri.

11. Tetapi, seandainya Engkau mengambil segala miliknya, tentu dia akan mengutuk Engkau secara terang-terang.”

12. Maka TUHAN berfirman kepada Si Penggoda, “Baiklah, lakukan apa saja dengan segala miliknya, asal engkau tidak membinasakan Ayub.” Lalu Si Penggoda pergi dari hadapan TUHAN.

13. Pada suatu hari, anak-anak Ayub mengadakan jamuan di rumah abang mereka yang sulung.

14. Tiba-tiba seorang utusan datang berlari-lari ke rumah Ayub. Katanya, “Kami sedang membajak ladang dengan lembu, dan keldai-keldai sedang merumput di padang yang berdekatan.

15. Tiba-tiba orang Syeba datang menyerang kami dan merampas semua binatang dan membunuh semua hamba tuan. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.”

16. Sebelum dia habis bercakap, datang pula hamba yang lain dan berkata, “Domba-domba serta para gembala telah disambar petir sehingga terbunuh semuanya. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.”

17. Sebelum dia habis bercakap, datang pula hamba yang lain dan berkata, “Tiga pasukan orang Kasdim telah menyerang kami. Mereka merampas unta-unta, dan membunuh semua hamba tuan. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.”

Ayub 1