Amsal 19:10-20 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

10. Orang bodoh tidak layak hidup dalam kemewahan; hamba tidak patut memerintah penguasa.

11. Orang bijak dapat menahan kemarahan. Mereka dipuji kerana mengampunkan kesalahan orang terhadap mereka.

12. Kemurkaan raja bagaikan ngauman singa, tetapi kebaikannya bagaikan embun yang membasahi tumbuh-tumbuhan.

13. Anak yang bodoh membinasakan bapanya. Isteri yang meleter bagaikan titisan air yang tidak henti-henti.

14. Rumah dan harta boleh diwarisi daripada ibu bapa, tetapi isteri yang bijak ialah kurnia daripada TUHAN.

15. Orang yang sentiasa tidur dan bermalas-malas pasti akan kelaparan.

16. Orang yang mentaati hukum Allah akan berusia panjang. Tetapi orang yang tidak mematuhi perintah-Nya akan mati.

17. Menolong orang miskin sama seperti memberikan pinjaman kepada TUHAN. TUHAN sendiri akan membalasnya.

18. Disiplinkan anak selagi mereka muda. Jika tidak, kamu menyebabkan kehancuran mereka.

19. Biarlah orang yang cepat marah merasakan akibatnya. Jika kamu menolong orang itu satu kali, kamu harus menolongnya lagi.

20. Orang yang suka mendengar nasihat dan mahu belajar akan menjadi bijaksana kelak.

Amsal 19