Amos 3:10-15 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

10. TUHAN berfirman, “Penduduk Samaria mengisi rumah besar mereka dengan benda-benda yang diperoleh daripada kejahatan dan kekejaman. Mereka sama sekali tidak tahu berlaku jujur.

11. Oleh itu musuh akan mengepung negeri mereka, memusnahkan pertahanan, dan menjarah rumah besar mereka.”

12. TUHAN berfirman, “Seperti seorang gembala yang hanya mendapat sepasang kaki atau sepotong telinga dombanya yang diterkam oleh singa, demikian juga yang akan berlaku; hanya sedikit orang yang akan terselamat antara penduduk Samaria yang sekarang berbaring di atas tempat tidur yang serba mewah.”

13. TUHAN Raja Yang Maha Kuasa berfirman, “Sekarang dengarlah, dan berikanlah amaran kepada keturunan Yakub.

14. Pada hari Aku menghukum orang Israel kerana dosa mereka, Aku akan memusnahkan mazbah-mazbah di Betel. Setiap mazbah akan dipatahkan unjuran-unjurannya sehingga jatuh ke tanah.

15. Aku akan memusnahkan rumah musim sejuk dan rumah musim panas. Rumah yang dihias dengan gading akan roboh; semua rumah besar akan dimusnahkan.

Amos 3